Beraksi di laman sendiri tidak memberi laluan mudah untuk Terengganu meraih kemenangan bagi aksi minggu kedua peringkat kumpulan kejuaraan ragbi Piala Agong edisi ke-42 walaupun berjurang besar ketinggalan di separuh masa pertama 28-13 oleh Kelantan yang bertandang ke Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
Terdahulu sebelum sepak mula, kedua-dua pasukan bersama penyokong memberi penghormatan untuk bertafakur selama seminit bagi memperingati pemain pasukan pelawat, Allahyarham Mohamad Khairul Abdillah Ramli atau lebih dikenali sebagai Myko yang telah meninggal dunia pada 10 Mei lalu yakni sehari selepas menamatkan perlawanan pembukaan.
Kelantan yang hadir dengan reputasi besar setelah menewaskan juara bertahan pada perlawanan pembukaan minggu lalu membuat kejutan seawal minit pertama untuk mendahului permainan dengan 7 mata penuh melalui jatuhan try oleh bekas pemain kebangsaan Mohamad Shah Izwan Nordin dan seterusnya tambahan dua mata melalui tendangan conversion oleh Muhammad Nafis Mohd Salleh.
Selang 3 minit kemudian untuk 3 mata pertama milik pasukan tuan rumah untuk menghukum pasukan pelawat melalui tendangan penalti yang disempurnakan oleh pemain fullback Muhammad Faizal Md Tahir.
Pasukan pelawat kekal konsisten dengan tambahan 21 mata melalui 3 jatuhan try dan 3 tendangan conversion untuk menamatkan saingan separuh masa pertama berkeputusan 28 berbalas 13.
Situasi berbeza untuk babak separuh masa kedua yang memihak kepada Terengganu untuk menyerap tekanan lawan sehinggakan berjaya mendahului permainan 39-36 pada minit ke-63 permainana.
Menambah tekanan , Kelantan terpaksa beraksi kurang seorang pemain yang dihantar ke luar padang setelah pemain import kelahiran Fiji Ratu Etuate Veidreyaki menerima layangan kad kuning di minit ke-67 sekaligus menghadiahkan tambahan 3 mata melalui tendangan penalti untuk Terengganu meletakkan keputusan semasa yang selesa 42-36 mendahului perlawanan.
Namun Kelantan tidak menunggu masa yang lama untuk merobek jentera pertahanan tuan rumah untuk menambah 7 mata penuh melalui jatuhan try dan tendangan conversion sekaligus tipis mendahului perlawanan 43-42.
Berbaki minit-minit akhir permainan, Terengganu mula mengubah taktikal untuk mendominasi penguasaan bola sehinggakan berjaya menambah 3 mata melalui tendangan penalti untuk menamatkan perlawanan kedua peringkat kumpulan yang berakhir dengan 45-43 memihak kepada tuan rumah.