Pelari berusia 25 tahun dari Indonesia, Namira Adjani Ramadina, kembali tular baru-baru ini apabila senyuman manisnya ketika melewati garisan penamat sekali lagi terakam tetapi kali ini, di New York Marathon 2025 yang melayakkan dia menerima gelaran Six Star Finisher dan muncul pelari termuda wanita Indonesia yang merekod pencapaian itu.
Disebalik senyuman manis yang sering menangkap lensa kamera, ramai tidak menyangka bahawa tersimpan kisah perit yang mendukung Namira Adjani sebagai wanita penuh inspirasi seawal usia yang muda dan segalanya bermula dengan nasihat doktor untuk dia mencari hobi baru bagi mengatasi masalah ‘eating disorder’ yang dihadapinya.
Advertisement
Ibu tersayang, Alya Rohila yang terlebih dahulu mengesahkan gelaran Six Star Finisher, menjadi pembuka jalan untuk Namira Adjani bergiat aktif dalam sukan larian jarak jauh dan tanpa disangka ia berkembang lebih dari sekadar hobi, menerusi penyertaannya di London Marathon pada 2022.
Dari London, Namira Adjani membuka lembaran 2023 dengan Marathon Tokyo dan kemudiannya Berlin, dan walaupun hanya ke Chicago pada 2024, masa yang direkodkan semakin menghampiri sub-4.
Azam untuk melengkapkan enam maraton utama dunia dalam Abbott World Marathon Majors semakin membara pada 2025 dengan penyertaan di Boston, sebelum 3 November menjadi tarikh penuh bersejarah apabila menamatkan larian 42.2km di New York City.
Lebih membanggakan, dari catatan 5 jam 20 minit 32 saat dengan pace 7, Namira Adjani sudah boleh meraikan hasil kerja kerasnya selama bertahun-tahun dengan catatan masa dibawah sasarannya iaitu 3 jam 59 minit 25 saat dengan pace 5.