Skip to main content

Bola Sepak

Pemilihan presiden FAM: Mengapa sistem, bukan individu perlu menjadi keutamaan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

Persatuan Bolasepak Malaysia, FAM

Setiap kali krisis melanda bola sepak negara, tumpuan sering terarah kepada individu—siapa yang patut dipersalahkan, siapa yang perlu berundur.

Namun, pengalaman antarabangsa menunjukkan bahawa punca sebenar kegagalan dan kejayaan sesebuah pasukan kebangsaan bukan terletak pada individu semata-mata, tetapi pada sistem yang dibina.

Advertisement

Dan setiap sistem yang berfungsi bermula dengan kepimpinan yang betul.

Dalam konteks Malaysia, hakikat ini menjadikan pemilihan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) satu detik strategik yang wajar ditafsirkan semula—bukan sekadar pertukaran kepimpinan, tetapi peluang membina semula asas bola sepak negara secara menyeluruh.

Dalam landskap bola sepak moden, jawatan Presiden persatuan bukan lagi simbol autoriti atau peranan seremonial.

Ia merupakan posisi strategik yang menuntut keupayaan membina organisasi berdaya tahan, berdikari dari segi kewangan dan mampu menjana prestasi kebangsaan secara konsisten.

Banyak kajian tadbir urus sukan antarabangsa menunjukkan bahawa kejayaan jangka panjang tidak lahir daripada keputusan reaktif atau suntikan dana ad-hoc, sebaliknya hasil daripada kepimpinan berasaskan kompetensi, struktur profesional dan disiplin pelaksanaan yang konsisten merentas masa.

Atas asas ini, pemilihan Presiden FAM wajar dipandu oleh kerangka objektif yang menilai keupayaan sebenar calon, bukan populariti atau pengaruh semasa.

Model Knowledge, Skill, Ability dan Attitude (KSAA) yang sering digunakan dalam kajian kepimpinan dan pengurusan strategik sukan menawarkan asas praktikal dan defensible.

Pendekatan ini mengalihkan fokus daripada persoalan “siapa individu itu” kepada “apa sistem yang mampu dibina oleh individu tersebut”.

 

 

Dari sudut Knowledge, calon Presiden perlu memahami ekosistem bola sepak global—struktur badan antarabangsa, ekonomi hak penyiaran dan penajaan, serta logik pembangunan prestasi tinggi yang meliputi laluan akar umbi hingga elit.

Tanpa pengetahuan ini, keputusan kepimpinan mudah menjadi bersifat jangka pendek dan reaktif. Pengetahuan strategik membolehkan Presiden menilai implikasi setiap keputusan bukan sahaja kepada prestasi pasukan kebangsaan, tetapi juga kepada kelestarian organisasi

Komponen Skill pula merujuk kepada keupayaan menterjemah pengetahuan kepada pelaksanaan.

Dalam konteks FAM, ini melibatkan kemahiran merangka pelan strategik jangka sederhana dan panjang, kebolehan berunding dengan penaja serta rakan media, dan kecekapan komunikasi krisis.

Bola sepak hari ini ialah industri hiburan dan ekonomi; justeru Presiden perlu mampu membina nilai komersial yang jelas agar pembangunan sukan tidak sentiasa bergantung kepada dana awam.

Namun, pengetahuan dan kemahiran sahaja tidak mencukupi tanpa Ability, iaitu keupayaan sebenar untuk menggerakkan sistem.

Ability melibatkan kebolehan melantik dan memperkasa profesional, memberi autonomi kepada pengurusan, serta menyelaras liga, kelab, negeri, akademi dan pasukan kebangsaan dalam satu hala tuju strategik.

Banyak organisasi sukan yang stabil membuktikan bahawa kekuatan sebenar terletak pada institusi yang berfungsi dengan baik walaupun berlaku pertukaran kepimpinan di peringkat tertinggi.

Akhirnya, Attitude menjadi faktor penentu yang sering dipandang remeh.

Integriti, orientasi jangka panjang dan kesediaan untuk belajar daripada amalan terbaik antarabangsa merupakan nilai teras kepimpinan moden.

Presiden yang mengutamakan kepentingan institusi dan negara—walaupun berdepan tekanan jangka pendek—akan membina kepercayaan peminat, penaja dan rakan strategik. Kepercayaan inilah modal sosial paling penting dalam bola sepak.

Pengalaman antarabangsa mengukuhkan hujah ini. New Zealand Rugby membangunkan enjin komersial melalui hak penyiaran dan penajaan yang kemudiannya disalurkan secara sistematik kepada pembangunan akar umbi dan prestasi elit.

Japan Football Association pula menekankan tadbir urus berasaskan institusi dengan pelaporan kewangan dan perniagaan yang telus, sekali gus membina keyakinan penaja dan rakan strategik.

Sementara itu, World Rugby memperlihatkan bagaimana kejohanan bernilai tinggi boleh menjadi sumber pendanaan mampan untuk pembangunan global dan kebajikan pemain.

Walaupun berbeza konteks, kesemua contoh ini berkongsi prinsip yang sama: kepimpinan strategik, struktur profesional dan disiplin pelaksanaan.

Daripada perspektif FAM, pengajaran utama bukan untuk meniru secara literal, tetapi menyesuaikan prinsip teras tersebut. Antaranya ialah pembinaan aset komersial yang jelas, pemisahan peranan polisi dan operasi, serta pelaporan institusi yang konsisten.

Namun, semua ini mempunyai prasyarat penting: Presiden perlu melabur dalam kapasiti organisasi, memperkasakan pengurusan profesional dan berani menetapkan keutamaan jangka panjang walaupun hasilnya tidak segera kelihatan. Tanpa prasyarat ini, reformasi hanya akan kekal sebagai slogan.

Pada masa yang sama, pengalaman antarabangsa juga memberi peringatan tentang risiko. Komersialisasi tanpa tadbir urus yang kukuh boleh menekan pembangunan akar umbi, manakala perubahan struktur tanpa sokongan budaya prestasi akan gagal dilaksanakan.

Justeru, cabaran sebenar bukan kekurangan idea, tetapi keupayaan kepimpinan untuk mengekalkan keseimbangan antara prestasi, integriti dan kelestarian kewangan.

Apakah implikasinya kepada bola sepak Malaysia? Kejayaan kepimpinan wajar diukur melalui petunjuk objektif: peningkatan peratus pendapatan bukan kerajaan, kestabilan kewangan institusi, konsistensi prestasi pasukan kebangsaan merentas kitaran pertandingan, serta keupayaan sistem pembangunan melahirkan pemain berkualiti secara berterusan.

Inilah ukuran sebenar keberkesanan Presiden—bukan retorik, tetapi hasil sistem yang berfungsi.
Kesimpulannya, pemilihan Presiden FAM ialah peluang untuk melakukan reset strategik.

Dengan menjadikan KSAA sebagai asas penilaian dan berpandukan bukti antarabangsa, proses ini boleh menjadi mekanisme reformasi yang objektif, telus dan berfokuskan masa depan. Soalnya kini bukan siapa yang paling lantang atau paling dikenali, tetapi siapa yang paling bersedia membina sistem.

Di situlah masa depan bola sepak Malaysia akan ditentukan.

Kredit: Timbalan Dekan (Pembangunan) Fakulti Sukan dan Sains Eksesais Universiti Malaya, Dr Mohd Firdaus Abdullah

 

Must Watch Video