Tragedi lemas yang meragut nyawa seorang pemain ragbi Kelantan ketika menjala ikan di Kampung Pemberian di sini pada Khamis berlaku sehari selepas mangsa bersungguh-sungguh membeli pukat baharu.
Ibunya, Royani Ab Rafar, 53, berkata, Muhammad Syahril Hakimy Sudin membeli pukat baharu bersama bapa saudaranya di sebuah kedai berhampiran rumah mereka dengan harga RM17 selepas tidak menjumpai pukat lama yang biasa digunakan.
Advertisement
“Tiap kali musim tengkujuh, dia suka pergi menjala atau memukat ikan tapi tak jumpa pukat lamanya, jadi dia pergi beli pukat baharu.
“Sepatutnya dia nak pergi menjala dengan seorang rakan tapi rakannya tak dapat ikut dan dia pergi seorang diri,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Pemberian di sini pada Jumaat.
Muhammad Syahril, 19, ditemukan lemas selepas tong drum yang dijadikan perahu terbalik ketika menjala ikan di kawasan kebun getah yang digenangi air limpahan Sungai Lebir.
Remaja itu merupakan anak keempat daripada lima beradik dan pelajar Sekolah Sukan Sultan Tengku Mahkota Ismail, Johor yang pulang ke kampung halaman pada 8 Disember lalu bagi menghabiskan cuti semester.
“Pada hari kejadian, dia keluar pada jam 3 petang tapi tapi sekitar jam 6 petang, ada penduduk datang ke rumah dengan motosikal yang digunakan anak saya untuk pergi menjala.
“Penduduk jumpa motosikal, jala dan selipar tapi anak saya tak ada,” katanya.
Muhammad Syahril juga dijadual menyertai kejohanan ragbi di Pulau Pinang pada 24 Disember ini dan aktif dalam sukan tersebut sejak Tingkatan 1.
“Dia anak yang baik dan peramah, tak tunjuk apa-apa perubahan pun sebelum pergi, saya reda,” katanya.
Jenazah mangsa disolatkan di Masjid Kampung Pemberian sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pemberian, hari ini.
Kredit artikel: Sinar Harian