IMIGRESEN 2 TERENGGANU 3
Terengganu menamatkan kemarau kemenangan dalam tiga perlawanan selepas menundukkan Imigresen 3-2 dalam pertembungan Liga Super di Stadium Negeri Pulau Pinang, petang tadi.
Advertisement
Skuad Penyu membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi Careca hasil lorongan Akhyar Rashid sebelum rembatan derasnya singgah sebentar di palang dan menerjah gawang.
Tidak menunggu lama, Joao Pedro, merapatkan kedudukan tujuh minit kemudian hasil gerakan dari tengah dimulakan Wilmar Jordan sebelum dia melakukan tolakan mudah untuk menewaskan benteng terakhir pelawat, Suhaimi Husin.
Careca sekali lagi menjadi duri dalam daging apabila tandukan jarak dekatnya menewaskan Zarif Irfan Hashimudin buat kali kedua apabila hantaran penyerang, Engku Shakir Engku Yacob menjadikan kedudukan 1-2 pada minit ke-65, sebelum sepakan penalti Gabriel Silva pada minit ke-73 memastikan kedudukan selesa 1-3.
Namun, pemain gantian Terengganu, Syafiq Danial Romzi, menghadirkan cemas berikutan tertampan bola ke gawang sendiri, namumn Imigresen gagal menggugat hingga wisel penamat untuk kekalahan 2-3.
Sementara itu, Penang turut melakar kemenangan dengan membenam PDRM -- yang mengakhiri permainan dengan 10 pemain -- 3-0 sementara pemain import Harimau Kumbang, Dylan Wenzel-Halls, meledak dua jaringan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, juga petang tadi.
Dalam aksi sebelah malam di Sarawak pula, Kuching City mencetak kemenangan bergaya 4-0 ke atas Melaka.