Tanggal 27 Februari 2026 bakal menjadi detik penting dalam kalendar bola sepak Malaysia apabila Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bakal melakukan prosiding 'meja bulat' melibatkan skandal pemalsuan dokumen membabitkan rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Ketika episod skandal rasuah 1994 masih lagi segar dalam ingatan penyokong bola sepak tanah air, kini satu lagi episod hitam dalam arena bola sepak terpaksa ditelan bulat-bulat susulan bukan sahaja tampak meninggalkan kesan mendalam buat penyokong bola sepak tanah air, namun turut mencalar imej negara di mata antarabangsa.
Advertisement
Untuk rekod, tujuh pemain itu melibatkan Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Bermula dengan;
- Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman denda 350,000 francs (RM1.8 juta) kepada FAM dan tujuh pemain terlibat didenda 2,000 francs (iaitu RM10,400) setiap seorang termasuk penggantungan daripada aktiviti bola sepak selepas didapati melakukan pelanggaran serius membabitkan Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen pada 26 September 2025.
- Pendedahan 'motivated decision' atau alasan bertulis penuh setebal 64 muka surat pada 17 November 2025
- Penambahan hukuman tiga aksi perlawanan persahabatan dibatalkan pada 17 Disember 2025 berserta hukuman denda sebanyak CHF10,000 (RM51,414).
- Pendedahan maklumat asal pemain warisan negara yang bercanggah dengan maklumat yang diberikan FAM.
- Keputusan CAS membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman sekali gus memberikan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang digantung sehingga keputusan rayuan kepada CAS dimuktamadkan sepenuhnya.
Persoalan yang relavan dilontarkan adalah bagaimana persepsi dan pandangan masyarakat luar terhadap kancah bola sepak Malaysia selepas terpalit dengan skandal berprofil tinggi melibatkan integriti dan akauntabiliti sehingga 'tergamak' melakukan pemalsuan dokumen yang mencetuskan perasaan betapa murahnya harga sebuah ketelusan di Malaysia.
Situasi itu semestinya akan mengundang persoalan dan pandangan buruk masyarakat luar sehingga meninggalkan stigma negatif kepada bola sepak Asia Tenggara yang kerap menggunakan jalan pintas dengan mengambil pemain dari negara untuk memperkuatkan pasukan kebangsaan selepas kali terakhir dilakukan Timor Leste pada 2017.
Jelas dilihat daripada aspek lain, negara perlu membayar harga yang mahal untuk sebuah kemajuan dalam bola sepak sehingga menjejaskan imej negara secara tidak langsung tanpa sedar mahupun sedar.