Johan “Jojo” Ghazali telah membina kerjayanya melalui aksi yang membuktikan kehebatannya, dan di ONE SAMURAI 1 pada Rabu ini, 29 April, beliau merancang untuk memberikan impak yang paling luar biasa.
Sensasi Malaysia-Amerika berusia 19 tahun ini akan melangkah ke kubu lawan untuk berdepan Shimon Yoshinari dalam pertembungan Muay Thai kategori flyweight, yang disiarkan secara langsung melalui pay-per-view dari Arena Ariake di Tokyo, Jepun.
Advertisement
Kemenangan buat fenomena remaja ini—yang menjalani latihan di Superbon Training Camp (Thailand) dan Rentap Muaythai Gym (Malaysia)—akan memberikannya kemenangan ketiga berturut-turut di pentas global, sekali gus menghampirinya ke arah kejuaraan ONE Championship.
Malah, kejayaan rakan sepasukannya, Rambolek Chor Ajalaboon, yang merampas gelaran Juara Dunia Muay Thai Bantamweight ONE daripada Nabil Anane bulan lalu, telah menyemarakkan lagi semangat dalam dirinya.
Sesi latihan kali ini mencerminkan semangat membara tersebut. Ghazali tidak mempersia-siakan setiap saat dalam persediaannya; mengasah kemahiran, memperkemas pertahanan, dan bekerja keras dalam diam.
Beliau memberitahu onefc.com:
“Kami sentiasa memberikan 100 peratus dalam setiap kem latihan. Kami sentiasa fokus. Kami berlatih dengan intensiti, kerja keras, dan dedikasi yang sama. Namun, sudah tentu kami merancang pelan permainan yang betul sambil memperbaiki beberapa kesilapan.
“Saya juga berasa jauh lebih kuat dari segi mental dan fizikal. Banyak yang saya pelajari daripada berada di sekeliling petarung tahap tinggi.”
Cabaran Terbesar Lawan Shimon
Sangat mudah untuk memahami mengapa Jojo memberikan segalanya. Shimon adalah Juara Dunia Muay Thai WBC dengan rekod kerjaya 25-1. Selain itu, bintang Jepun tersebut menikmati rekod 4-0 (1 NC) dalam promosi ini, termasuk kemenangan dominan ke atas juara dunia empat kali, Yodlekpet “The Destroyer” Or Atchariya.
Bagaimanapun, semua itu tidak mengubah pendirian Johan. Beliau sangat menghormati kemahiran lawannya, namun telah meluangkan masa sepanjang latihan ini untuk mempelajari cara untuk menumbangkannya.
Kata petarung yang berpangkalan di Sarawak itu:
“Shimon mempunyai banyak kemahiran, termasuk tendangan betis (calf kicks), tetapi kami tidak terlalu bimbang tentang itu. Superbon telah memberikan saya helah yang diperlukan. Beliau telah menerapkan perkara itu dalam diri saya – beliau melakukan perkara yang sama untuk menewaskan [Masaaki] Noiri dengan mudah.
“Ketenangannya akan diuji seperti yang tidak pernah diuji sebelum ini. Beliau pernah menentang petarung yang baik, tetapi lawan lain tidak seganas saya. Mereka tidak mempunyai minda pembunuh. Saya datang dengan prinsip 'mati atau membunuh' (kill-or-be-killed).”
Jojo bukan jenis orang yang berselindung di sebalik jawapan samar apabila menyentuh soal menamatkan perlawanan. Bintang remaja ini membina reputasi dengan menumbangkan lawan seawal mungkin, dan beliau tidak berniat untuk mengubah formula tersebut pada 29 April ini.
“Jojo” mula dikenali dunia dengan kemenangan knockout (KO) dalam masa 16 saat pada penampilan sulungnya pada Februari 2023. Beliau telah menambah lima lagi detik hebat dalam resumenya, membuktikan bahawa kuasa tumbukannya bukan gurauan.
Dinamamo Malaysia-Amerika ini bersedia untuk beraksi di "Negeri Matahari Terbit" dan sudah tahu senjata mana yang akan menamatkan perlawanan untuk kemenangan ke-28 dalam kerjayanya.
Katanya:
“Tangan kanan akan menjadi alat kemenangan saya. Jangan sesekali memperlekehkan tangan kanan. Saya telah menjatuhkan ramai orang dengan overhand kanan atau cross kanan, dan saya tidak rasa beliau berbeza daripada lawan yang lain.
“Mungkin saya boleh selesaikan tugas ini pada pusingan kedua atau ketiga. Tetapi jika pusingan pertama pun, ia tidak mengejutkan.”
Beraksi Di Kubu Lawan Bukan Masalah
Johan Ghazali tidak perlu diajar tentang kepentingan bersaing di ONE SAMURAI 1, memandangkan beliau pernah bertarung dalam acara-acara terbesar organisasi seni bela diri terbesar dunia itu.
Sejarah seni bela diri Jepun, skala acara tersebut, dan peluang mewakili Malaysia di platform yang jarang diterokai telah bergabung menghasilkan detik yang telah dibina oleh “Jojo” sepanjang kerjaya mudanya.
Jojo berkata:
“Saya teruja. Saya semakin terbiasa berada dalam acara besar, dan setiap satunya sentiasa menyeronokkan. Saya bangga menjadi salah seorang daripada segelintir rakyat Malaysia yang bertanding di Jepun di bawah ONE Championship.
“Saya sudah ke beberapa tempat sekarang – Stadium Lumpinee [Thailand], Ball Arena di Denver. Di Amerika Syarikat itu mungkin yang paling gila. Tetapi saya teruja untuk melihat bagaimana suasananya di Arena Ariake.”
Kebanggaan mewakili negara dalam edisi sulung ONE SAMURAI ini datang dengan satu cabaran kecil: seluruh arena akan memberikan sokongan penuh kepada wira tempatan mereka.
Namun, Jojo sangat tenang menghadapinya. Beliau sudah biasa melangkah ke dalam gelanggang di mana sorakan bukan untuknya, dan sering keluar sebagai pemenang.
Oleh itu, remaja berusia 19 tahun ini yakin Tokyo tidak akan berbeza:
“Apabila anda bertarung, apabila berada di dalam gelanggang itu, ia hanya antara lawan saya dan saya. Saya tahu penonton akan menyokong Shimon, tetapi ia tidak akan mengganggu saya. Kami akan fokus sepenuhnya.”