Malaysia bakal melakar sejarah apabila menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 dengan pendekatan baharu – penganjuran secara multi-kluster di empat lokasi utama: Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur. Model ini bukan sahaja menjadikan Malaysia perintis kepada struktur penganjuran moden, malah turut memperluas peluang pembangunan sukan, ekonomi dan pelancongan di pelbagai negeri. Namun, penganjuran berskala besar ini datang dengan tuntutan yang tinggi. Tanpa persediaan rapi, risiko reputasi dan operasi boleh menjejaskan kredibiliti negara. Justeru, pendekatan strategik dan pengurusan risiko yang holistik perlu diberi keutamaan.
Pertama, aspek infrastruktur merupakan penentu kejayaan penganjuran. Setiap venue yang bakal digunakan perlu memenuhi piawaian antarabangsa seperti yang ditetapkan badan sukan global. Sarawak telah menunjukkan komitmen menaik taraf fasiliti termasuk keperluan velodrom baharu, manakala Kuala Lumpur dan Johor mempunyai asas kemudahan yang kuat hasil sejarah penganjuran edisi terdahulu. Walau bagaimanapun, audit teknikal yang sistematik perlu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan semua fasiliti siap mengikut jadual dan mematuhi standard pertandingan. Risiko yang paling besar ialah pembinaan fasiliti baharu yang tidak mempunyai pelan penggunaan jangka panjang, atau lebih dikenali sebagai isu “white elephant”. Untuk mengelakkan pembaziran, semua pembangunan mesti disandarkan kepada pelan legasi sukan negeri serta keperluan komuniti selepas temasya.
Advertisement
Kedua, Malaysia perlu menampilkan kecekapan dalam pengurusan operasi merentas kluster. Dengan empat zon penganjuran yang dipisahkan oleh jarak geografi yang besar, sistem logistik perlu direka bentuk secara integratif. Pergerakan atlet dan pegawai, penghantaran peralatan sukan, koordinasi jadual pertandingan dan operasi pengangkutan harus dipusatkan melalui sistem digital tunggal. Setiap negeri boleh mempunyai pusat tindak operasi masing-masing, namun arahan strategik mesti diselaraskan melalui jawatankuasa pusat agar standard perkhidmatan kekal seragam. Kejayaan Sukan SEA 2027 bergantung kepada sejauh mana Malaysia mampu mengurus kompleksiti ini tanpa menjejaskan pengalaman atlet dan kontinjen antarabangsa.
Ketiga, aspek kewangan juga perlu diberi perhatian serius. Penganjuran sukan antarabangsa lazimnya melibatkan kos yang tinggi, dan dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, Malaysia perlu memastikan keberkesanan setiap perbelanjaan. Langkah terbaik ialah menggabungkan dana kerajaan dengan kerjasama sektor swasta melalui strategi penajaan yang menarik dan telus. Penajaan komersial, hak siaran, serta lesen barangan rasmi mampu menjadi sumber pendapatan penting. Dalam masa yang sama, audit kewangan berkala perlu dilakukan bagi mengelakkan ketirisan serta memastikan bajet kekal terkawal.
Keempat, pemilihan sukan yang bakal dipertandingkan perlu mematuhi peraturan Southeast Asian Games Federation (SEAGF) yang menetapkan julat 36 hingga 41 sukan. Malaysia juga perlu berhati-hati agar tidak memilih sukan yang dianggap terlalu menguntungkan negara sendiri. Sebaliknya, tumpuan perlu diberikan kepada sukan teras Olimpik dan Asia, selaras dengan hala tuju program pembangunan atlet seperti Road To Gold. Sukan SEA 2027 harus dijadikan platform pengukuhan prestasi atlet Malaysia, bukan sekadar medan kutipan pingat sementara.
Dari sudut keselamatan, penganjuran temasya multi-kluster menuntut penyelarasan menyeluruh antara PDRM, KKM, agensi penguatkuasaan dan pihak keselamatan negeri. Prosedur respons kecemasan, rawatan perubatan di venue, kawalan pergerakan penonton, serta sistem anti-doping perlu diseragamkan. Malaysia tidak boleh berkompromi dalam aspek ini kerana keselamatan adalah tonggak utama reputasi penganjur antarabangsa.
Akhir sekali, penganjuran Sukan SEA 2027 mesti disertai strategi komunikasi nasional yang kukuh. Malaysia perlu membina naratif optimistik dan progresif, setanding imej negara sebagai destinasi sukan serantau. Komunikasi berterusan mengenai kemajuan persiapan, penglibatan masyarakat, kempen digital dan kolaborasi dengan sekolah serta universiti penting untuk memastikan rakyat merasai bahawa temasya ini ialah projek kebangsaan, bukan sekadar program kerajaan.
Secara keseluruhannya, Malaysia mempunyai kekuatan asas yang kukuh untuk menganjurkan Sukan SEA 2027 dengan cemerlang. Namun kejayaan itu tidak akan hadir tanpa perancangan strategik yang terperinci, kawalan risiko yang disiplin dan kerjasama erat antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri serta badan-badan sukan. Jika semua komponen ini digerakkan dengan efisien, Sukan SEA 2027 bukan sahaja mampu menjadi temasya terbaik dalam sejarah, malah dapat meninggalkan warisan pembangunan sukan yang berkekalan untuk generasi akan datang.
Dr Mohd Firdaus Bin Abdullah
Timbalan Dekan
Fakulti Sukan dan Sains Eksesais
Universiti Malaya
