Pihak berkuasa Israel dilaporkan melanjutkan tempoh tahanan pemain skuad bola sepak wanita Palestin, Rand Halawani, selepas dia dipanggil untuk sesi soal siasat di Baitulmaqdis.
Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) mengecam tindakan terhadap pemain berusia 20 tahun itu yang ditahan pada Selasa lalu, sambil menyifatkan insiden tersebut sebagai sebahagian daripada tindakan sistematik terhadap atlet Palestin.
Dalam satu kenyataan rasmi, PFA menegaskan bahawa penahanan Halawani serta seorang lagi bekas pemain kebangsaan Palestin bukanlah insiden terpencil.
“Ia adalah sebahagian daripada corak yang telah lama didokumentasikan mengenai penyasaran sistematik terhadap atlet Palestin yang masih berterusan tanpa sebarang akauntabiliti,” menurut kenyataan itu.
Menurut Gabenor Palestin bagi Baitulmaqdis, sebuah mahkamah Israel pada Rabu memutuskan untuk melanjutkan tahanan Rand Halawani sehingga Jumaat.
Dalam perkembangan sama, tentera Israel turut menahan bekas pemain bola sepak kebangsaan Palestin, Natalie Abu Diyeh, yang juga merupakan pelajar di Universiti Birzeit, bersama tiga lagi wanita muda Palestin di Tebing Barat yang diduduki pada Selasa.
Pihak tentera Israel dalam kenyataannya mendakwa keempat-empat wanita tersebut disyaki terlibat dalam “mempromosikan aktiviti keganasan dan aktiviti lain berkaitan keganasan”.
Bagaimanapun, Universiti Birzeit mengecam penahanan itu dan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada “dasar sistematik Israel yang menyasarkan pendidikan Palestin serta hak pelajar untuk meneruskan pengajian mereka”.
Sementara itu, Bishop Imad Haddad dari Gereja Evangelical Lutheran di Jordan dan Tanah Suci — institusi yang mempunyai hubungan dengan Natalie Abu Diyeh — turut menggesa pembebasan segera bekas pemain itu.
“Kami amat terkejut dan terganggu dengan berita ini, lebih-lebih lagi apabila keluarganya sendiri masih tidak mengetahui di mana beliau dibawa,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut Palestinian Prisoners' Club, organisasi utama hak tahanan di wilayah Palestin, seramai 89 wanita Palestin kini berada di penjara Israel termasuk tiga remaja bawah umur dan tiga wanita hamil.
Insiden melibatkan penahanan atlet Palestin ini sekali lagi mencetuskan perhatian antarabangsa terhadap layanan terhadap rakyat Palestin di tengah konflik berpanjangan di rantau tersebut.
Sumber: Al Jazeera