Kelab gergasi Liverpool mengecam keras serangan berunsur perkauman yang ditujukan kepada pertahanan mereka, Ibrahima Konate, dengan menyifatkannya sebagai “tidak berperikemanusiaan, pengecut dan berakar daripada kebencian”.
Pemain antarabangsa Perancis itu menjadi sasaran kecaman dalam talian selepas terlibat dalam pertembungan dengan penyerang Galatasaray, Victor Osimhen, yang mengakibatkan pemain itu digantikan pada separuh masa pertama aksi timbal balik Liga Juara-Juara Eropah, Khamis lalu.
Advertisement
Osimhen kemudian disahkan mengalami patah lengan, dengan Liverpool memenangi aksi pusingan 16 terakhir itu 4-0 di Anfield sekali gus mara dengan agregat 4-1.
Insiden itu bagaimanapun mencetuskan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang menyerang Konate menerusi media sosial, yang disifatkan kelab sebagai sama sekali tidak boleh diterima.
“Ia tidak berperikemanusiaan, pengecut dan berakar daripada kebencian.
“ Isu perkauman tidak mempunyai tempat dalam bola sepak, masyarakat atau di mana-mana sama ada secara dalam talian atau luar talian.
“Pemain kami bukan sasaran. Mereka manusia. Penyalahgunaan yang berterusan terhadap pemain, sering berselindung di sebalik akaun tanpa nama, mencemarkan sukan ini serta platform yang membenarkannya berterusan,” menurut kenyataan rasmi kelab.
Liverpool turut menggesa syarikat media sosial mengambil tanggungjawab lebih serius dalam mengekang penyebaran kebencian berunsur perkauman.
“Syarikat media sosial mesti mengambil tanggungjawab dan bertindak sekarang.
“Keadaan semasa tidak boleh dibiarkan berterusan. Ia mesti ditangani, dicabar dan dihapuskan. Bukan esok, tetapi sekarang,” tegas kenyataan itu lagi.
Jurucakap rasmi Perdana Menteri Keir Starmer memaklumkan bahawa kerajaan akan meningkatkan tekanan terhadap syarikat teknologi supaya menyediakan perlindungan lebih berkesan kepada pemain.
Pihak polis sebelum ini membuka siasatan selepas empat pemain Liga Perdana Inggeris turut menjadi mangsa serangan perkauman dalam talian dalam tempoh satu hujung minggu bulan lalu.
Antara pemain yang menjadi sasaran termasuk penyerang Wolverhampton Wanderers, Tolu Arokodare; pemain Sunderland, Romaine Mundle; pertahanan Chelsea, Wesley Fofana serta pemain Burnley, Hannibal Mejbri.