Ketua jurulatih Selangor, Kim Pan-gon, melaungkan barisannya agar mengekalkan prestasi sebagaimana ketika membenam cabaran Imigresen 4-0 di stadium MBPJ, malam tadi.
Keputusan ini juga menutup kekecewaan ketika seri berdepan Melaka di Stadium Hang Jebat tempoh hari, lantas pengendali dari Korea Selatan itu menganggap ini merupakan kebangkitan terbaik.
Advertisement
Momentum ini mustahak bagi menaikkan lagi moral pemain yang berjuang mengejar kedudukan kedua Liga Super dengan 'derby' Lembah Klang mungkin bakal menjadi penentu.
"Saya bangga dengan pemain memandangkan perlawanan lalu kami tidak beraksi dengan baik.
"Kami memberikan reaksi yang baik, kebangkitan yang sangat bagus. Terima kasih kepada penyokong.
"Andai berhasrat menjadi pasukan yang lebih baik, kami perlu tingkatkan bahagian ini.
"Tidak seperti minggu lalu (yang menyaksikan) kami melepaskan deretan peluang, tabiat seperti ini amat penting.
"Kami akan terus berjuang dan bekerja keras," katanya dalam sidang media pasca perlawanan.
Sementara itu, ketua jurulatih skuad pelawat, Yusri Che Lah, mengakui mereka menjadi mangsa kepada amukan Sang Gergasi Merah.
Ia ditambah dengan ketiadaan pemain tengah import mereka, Eduardo Sosa, akibat kecederaan dan Yusri menganggap tiada pemain yang mampu menjelmakan aksi yang sama seperti apa yang tonggak dari Venezuela itu lakukan.
"Ketiadaannya amat dirasakan untuk perlawanan ini dan seterusnya.
"Tiada pemain yang lebih besar daripada kelab tapi dia telah membawa pasukan yang baru dan kecil.
"Tiada rakan sepasukan yang mampu melakukan tugas dengan baik seperti ini ketika di atas padang," katanya pula.