Pengendali UM-Damansara United, Ridzuan Abu Shah, turun dengan misi menundukkan 'tok gurunya', Irfan Bakti Abu Salim, yang kini menerajui Kelantan Red Warrior (KRW).
Bagi Ridzuan, satu kewajipan untuk mendapatkan mata di laman sendiri walaupun seri 1-1 pada awal musim Liga A1 Semi-Pro, adalah tidak mustahil untuk menjelmakan tiga mata bagi merampas tangga ketiga liga.
Advertisement
"Saya pernah dilatih Irfan Bakti di Telekom Melaka pada 2004 dan dia merupakan penolong jurulatih kepada mendiang Datuk M. Karathu dalam skuad Sukan Olimpik 2000.
"Saya amat mengaguminya dan KRW berada di landasan yang agak bagus, dengan kemenangan dan penjaring terbanyak pun dari mereka.
"Saya pula boleh mengesahkan Wan Kuzri Wan Kamal boleh bermain untuk esok," katanya di Nadi Arena.
Sementara itu, pengendali berusia 75 tahun itu ingin menjadikan momentum cemerlang pasukan ketika ini sebagai tonik terbaik ketika bertandang ke UM Arena esok.
Irfan Bakti juga menjangkakan saingan sengit dari pasukan yang dikendali bekas anak buahnya itu, namun tetap menekankan mata penuh adalah perkara paling penting untuk KRW.
"Setelah mengharungi beberapa perlawanan di sebelah petang, kami sudah dapat menyesuaikan diri dan mahu mengutip tiga mata.
"Walaupun akan berjumpa dengan bekas anak buah sendiri -- seorang bekas pemain yang lasak -- tapi saya tetap berkehendakkan tiga mata," katanya.