Jurulatih berbasikal remaja trek endurance kebangsaan, Adiq Husainie Othman, percaya latihan altitud tinggi mampu meningkatkan kapasiti pernafasan serta stamina pelumba menjelang Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Filipina dari 25 hingga 31 Mac ini.
Menurutnya, latihan tersebut membantu pelumba menyesuaikan diri dengan keadaan kekurangan oksigen di kawasan altitud tinggi sebelum kembali bersaing di paras laut.
Advertisement
“Latihan altitud tinggi ini sebenarnya untuk menguji kapasiti oksigen dan tenaga pelumba di tempat tinggi.
"Apabila berada di kawasan altitud tinggi, pernafasan sedikit terhad, tetapi apabila mereka kembali ke paras laut, simpanan oksigen dan tenaga akan menjadi lebih tinggi daripada biasa,” katanya.
Adiq meletakkan keyakinan tinggi kepada tiga pelumba di bawah kendaliannya iaitu Muhammad Danial Hakim, Afif Darwysh Nazir dan Davia Evriel Eriana Azif untuk memburu podium pada kejohanan ACC itu.
Katanya, jadual kejohanan tahun ini agak mencabar kerana bertembung dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Sebelum ini kejohanan ACC biasanya berlangsung pada Februari atau Mac, tetapi kali ini ia bertembung dengan hari perayaan.
“Bermula 22 sehingga 25 Mac kami sudah berada di Filipina,” katanya.
Tambah Adiq lagi, para pelumba tetap meneruskan latihan seperti biasa sepanjang bulan Ramadan, malah ada dalam kalangan mereka yang berpuasa ketika menjalani latihan intensif.
“Dalam bulan puasa pun kami perlu teruskan latihan seperti biasa.
Ada pelumba yang berpuasa, sekali gus perkara ini akan menguji ketahanan mereka,” katanya lagi.