Suasana pagi di ibu negara bertukar lebih bermakna apabila Program Larian Kesedaran Autisme Kuala Lumpur 2026 berlangsung serentak dengan Kuala Lumpur Car Free Morning edisi 19 April, menarik penyertaan ratusan peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Program yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Pertubuhan Amal & Dakwah Anak Istimewa (PANDAI) itu bukan sekadar acara larian santai, malah menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap Autisme.
Advertisement
Seawal 7 pagi, peserta mula membanjiri laluan sekitar pusat bandar Kuala Lumpur sambil berpakaian warna oren, warna tema bagi Kesedaran Autisme tahun 2026.
Dengan acara larian ini, ia menggalakkan gaya hidup sihat, menghubungkan komuniti melalui aktiviti fizikal malah menjadi platform untuk menyampaikan mesej kesedaran secara santai tetapi berimpak.
Lebih istimewa, program ini turut disertai oleh keluarga anak istimewa, sukarelawan, badan bukan kerajaan serta orang awam yang hadir memberi sokongan moral.
Menurut pihak penganjur, objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan lebih jelas mengenai autisme, menghapuskan stigma terhadap golongan tersebut serta mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan memahami.
Autisme atau Autism Spectrum Disorder (ASD) merupakan keadaan perkembangan neurologi yang mempengaruhi komunikasi, tingkah laku dan interaksi sosial seseorang. Justeru, sokongan masyarakat amat penting dalam membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih berkualiti.
Penganjur berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan skala lebih besar, melibatkan lebih banyak pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat.
Usaha berterusan ini dilihat penting bagi memperluas kefahaman masyarakat serta menggalakkan penerimaan sosial terhadap individu ASD, serta membina ekosistem sokongan yang lebih kukuh.
Penganjuran Larian Kesedaran Autisme sempena Kuala Lumpur Car Free Morning bukan sahaja berjaya menghidupkan suasana hujung minggu di ibu negara, malah membawa mesej besar tentang kepentingan inklusiviti dalam masyarakat.
Dalam dunia yang semakin pantas bergerak, program seperti ini menjadi peringatan bahawa setiap individu -- termasuk anak istimewa -- berhak diberi ruang, peluang dan sokongan untuk berkembang bersama.