Skip to main content

Berita Sukan Am

Kisah benar pejuang terapi Malaysia: Tanpa dana tajaan takluk Asia, Eropah dan Dunia

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

KISAH BENAR PEJUANG TERAPI MALAYSIA: TANPA DANA TAJAAN TAKLUK ASIA, EROPAH DAN DUNIA

Perjalanan pasukan Juruterapi Malaysia menuju ke pentas dunia bukanlah laluan yang mudah. Ia bermula dengan penyertaan awal dalam Malaysia Massage Championship, sebuah platform yang menguji bakat anak tempatan dan membuka ruang kepada juruterapi profesional memperhalusi kemahiran masing-masing

Dari sinilah tercetusnya azam dan iltizam untuk membawa nama dan bendera Negara ke pertandingan lebih besar, walaupun terpaksa berkorban masa, wang dan tenaga semata-mata demi minat mendalam terhadap bidang seni terapi & kesihatan.

Advertisement

Kejayaan di peringkat Nasional membuka laluan ke Southeast Asia Massage Championship, di mana pasukan Malaysia akan mula berdepan saingan yang lebih hebat dan mencabar dari negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Fillipina yang telah lama, lebih menonjol di peringkat antarabangsa. Pengalaman ini menjadi pedoman untuk memperkukuh displin seni terapi rakyat Malaysia. Kejohanan peringkat rantau Asia Tenggara ini juga membuktikan bahawa Malaysia mempunyai bakat setaraf antarabangsa, sekali gus meningkatkan keyakinan pasukan untuk melangkah lebih jauh.

Selepas berjaya membina reputasi kukuh di Asia Tenggara, pasukan negara terus mengorak langkah ke European Massage Championship. Di Eropah, mereka mendedahkan diri kepada teknik terapi moden dan tradisional dari Barat, selain belajar bagaimana juruterapi profesional dunia mempersiapkan diri untuk pertandingan berprestij dan bertaraf tinggi. Walaupun cabaran lebih besar dan kos penyertaan jauh lebih tinggi, semangat mereka tidak pernah luntur. Setiap ahli pasukan komited demi membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.

Kemuncak perjalanan panjang ini akhirnya membawa mereka ke World Holistic Massage Championship (WHMCC) 2025 di Singapura iaitu pentas tertinggi yang menghimpunkan juruterapi terbaik seluruh dunia. Pasukan Malaysia telah melaksanakan perancangan awal dan pelan strategik secara bersama. Semua Juruterapi Malaysia berkumpul dari Pusat Rawatan Terapi Urut Tradisional Pak Su Den, Bandar Permas Jaya, menaiki bas dengan penuh harapan dan amanah besar untuk mengharumkan nama Negara. Ia bukan satu tugasan yang mudah kerana untuk menjadi pemenang perlu berlatih siang dan malam demi menjaga nama baik Malaysia.

Saingan di Singapura berlangsung sengit, khususnya daripada negara seperti Vietnam dan Filipina yang terkenal dengan teknik urutan hampir setara dengan Malaysia. Namun keunikan juruterapi Negara terletak pada gabungan teknik urutan Melayu, disulam dengan pelbagai elemen silat, zapin, kuda kepang dan lain lain, menjadikan persembahan yang kaya nilai budaya. Malahan pasukan Malaysia juga turut mempunyai teknologi terapi moden untuk dipersembahkan. Elemen ini akhirnya berjaya menambat hati para juri di peringkat dunia.

Hasil pengorbanan yang panjang itu menyaksikan pasukan Malaysia dinobatkan sebagai juara keseluruhan WHMCC 2025, membawa pulang 18 daripada 22 piala yang dipertandingkan. Sembilan juruterapi negara mencatat kemenangan membanggakan, antaranya Romlah Sudirman, Marinda Majapin, Jennis Vun Nget Yen, Sherry Norshiella Soep, Dhia Fathia Zhura, Hanisah Othman, Norhafiza Zainal Abidin, Faten Syahira Mohd Hanapi dan Ts.Dr Hadafi Fitri Mohd Latip. Keunikan pasukan Malaysia terserlah dengan pelbagai bangsa dan bidang, bersatu hati demi Lencana di dada.

Ketua pasukan Malaysia, Saudara Mohd Abiddin Ahmad, telah mengharumkan nama negara dalam World Holistic Massage Championship 2025 apabila muncul juara keseluruhan pertandingan dan turut meluahkan rasa terharu apabila melihat kekuatan semangat berpasukan walaupun ramai baru pertama kali berjumpa kerana negeri yang berbeza. Beliau mengakui bahawa peserta negara berdepan keletihan dan kesulitan kerana kurang rehat dan dana tajaan. Namun tanggungjawab demi Negara, mengatasi segala onak duri, kesusahan dan kepayahan yang ada. Semoga kemenangan dan kejayaan ini membuka mata ramai pihak untuk menaja juruterapi Malaysia bersaing di peringkat antarabangsa.

Kejayaan gemilang ini bukan pengakhiran, tetapi pembakar semangat untuk masa depan. Pasukan Malaysia merancang untuk membawa lebih ramai juruterapi termasuk generasi muda ke kejohanan antarabangsa akan datang. Mereka percaya bahawa Malaysia mempunyai ramai bakat besar yang bersemangat, mampu bekerjasama dan bersedia mengangkat nama negara melalui bidang seni terapi urut yang semakin diiktiraf dunia. Perjalanan panjang ini menjadi bukti bahawa dengan pengorbanan, disiplin dan cinta kepada negara, Malaysia mampu berdiri megah di pentas global.Semoga kisah ini menjadi iktibar, dimana ada kemahuan, disitu ada jalan. Genggam bara api, biar sampai lumat. Malaysia Juara.

Topik Berkaitan

Must Watch Video