Bekas pengurus skuad kebangsaan, Datuk Kamarul Ariffin, mempersoalkan apa yang terkini buat skuad kendalian Peter Clamovski memandangkan aksi terakhir kelayakan Piala Asia bakal berlangsung pada 31 Mac ini.
Tatkala keputusan di peringkat Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) tidak memihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), persediaan skuad utama kebangsaan pula hampir tidak kedengaran sehingga ke hari ini
Advertisement
tiada rencana khusus, tiada aksi persahabatan selain barisan pemain yang akan beraksi di Vietnam hujung bulan ini menjadi tanda tanya.
Apa tidaknya, ibarat dilanda garuda, Wisma FAM di Kelana Jaya sepi sebaik keputusan cas gagal memihak kepada mereka.
Bukan itu sahaja, perkembangan terkini untuk persediaan skuad kebangsaan juga tidak menampakkan sebarang perancangan baik daripada Clamovski mahupun Ketua Pegawai Eksekutif National Team (NT), Rob Friend.
Tegas Kamarul, FAM tidak boleh berdiam diri lagi.
"Saya tidak nampak satu penggerakan pun daripada CEO bertaraf dunia, Rob Friend, untuk menghadapi perlawanan ini.
"Peminat tertunggu-tunggu tentang persiapan pasukan.
"Perlawanan wajib diadakan tetapi tiada sebarang persiapan yang didengari lagi.
"Kita juga ingin tahu adakah khidmat CEO dikekalkan, hala tuju Cklamovski serta bola sepak kebangsaan," katanya.
Cukuplah keraguan isu tujuh pemain warisan tidak sah menjadi perbualan, kini desakan menggugurkan hak kerakyatan tujuh pemain ini perlu ada tindakan daripada pihak badan induk itu sendiri.
"Penyokong bola sepak Malaysia telah menyuarakan hasrat bahawa kerakyatan tujuh pemain ini mesti dibatalkan.
"Jika FAM berasakan tuntutan peminat tidak penting, masih lagi mahu mengikut acuan FAM dan tidak menghargai penyokong, (maka) teruskanlah apa yang FAM rasa perlu," katanya.