Pemain sayap Kelantan The Real Warriors (KTRW), Syafik Ismail, menegaskan dia dan rakan sepasukan sudah bersiap sedia bagi menghadapi PDRM bagi aksi minggu ke-18 Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), malam ini.
Bekas pemain skuad B-23 kebangsaan itu percaya motivasi dan moral barisan pemain Kijang Emas di tahap terbaik, lebih-lebih lagi selepas mengesahkan kemaraan ke pentas separuh akhir Challenge Cup 2025/2026.
Advertisement
Syafik turut memasang impian untuk membantu pasukannya melunaskan misi balas dendam ke atas Sang Saka Biru selepas KTRW tewas 1-3 dalam aksi pusingan pertama Liga Super, 20 September tahun lalu.
Selepas mengharungi 16 perlawanan, skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli itu menghuni kedudukan ke-10 Liga Super hasil daripada empat kemenangan, tiga seri serta sembilan kali tewas dengan kutipan 15 mata.
"Kami sudah bersedia sepenuhnya bagi momentum 'comel' ini.
"Puasa agak mencabar tapi kami tidak patah semangat dan akan bekerja keras.
"Kami berharap dapat beraksi sebagai sebuah pasukan dan membawa pulang tiga mata," katanya.