Skip to main content

Wushu

‘Kaji balik gaji jurulatih’, Kim Fatt desak penstrukturan semula demi masa depan wushu negara

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

‘Kaji balik gaji jurulatih’, Kim Fatt desak penstrukturan semula demi masa depan wushu negara

Presiden Persekutuan Wushu Malaysia, Chong Kim Fatt, melontarkan gesaan tegas agar struktur gaji jurulatih dikaji semula, sejurus selesai Mesyuarat Jawatankuasa Kerja hari ini.

Baginya, tawaran gaji sedia ada bukan sahaja tidak kompetitif, malah menjadi faktor utama kekangan pembangunan wushu negara -- khususnya dalam usaha menarik jurulatih berkualiti, sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Advertisement

Menurut Kim Fatt, kadar imbuhan yang ditawarkan ketika ini terlalu rendah jika dibandingkan dengan tanggungjawab besar yang perlu digalas jurulatih elit. Situasi itu menyebabkan jurulatih tempatan berpengalaman memilih haluan lain, manakala jurulatih luar negara pula menolak tawaran untuk berkhidmat di Malaysia.

Dia berharap Majlis Sukan Negara Malaysia dapat mempertimbangkan semula struktur gaji sedia ada agar lebih selari dengan standard semasa industri sukan berprestasi tinggi.

Isu gaji itu menjadi lebih mendesak apabila kem wushu negara kini berdepan kekurangan tenaga pengajar yang serius. Ketika ini, hanya tiga jurulatih aktif menggerakkan keseluruhan program elit dan pelapis kebangsaan — satu angka yang dianggap tidak memadai untuk memastikan pembangunan menyeluruh.

Dalam sistem sukan moden, nisbah jurulatih kepada atlet memainkan peranan penting dalam memastikan pemantauan teknik, pengurusan beban latihan serta aspek sains sukan dilaksanakan secara optimum. Kekurangan jurulatih bukan sahaja memberi tekanan kepada staf sedia ada, malah boleh menjejaskan kualiti latihan atlet.

Kim Fatt melihat perkara ini sebagai isu struktur yang perlu ditangani segera, bukan sekadar penyelesaian jangka pendek.

“Kita perlu menjaga kebajikan jurulatih tempatan. Selepas pulang dari Kejohanan Dunia di Brazil tahun lalu, Malaysia menduduki tempat ketiga keseluruhan di belakang China dan Iran dengan lima pingat emas.

“Ketika itu, negara luar mula menawarkan kontrak kepada jurulatih Malaysia dengan gaji sekitar ASD2,000 hingga ASD2,500, sedangkan di Malaysia jurulatih tempatan hanya menerima antara RM5,000 hingga RM6,000,” katanya.

Katanya lagi, menaikkan gaji jurulatih bukanlah satu beban perbelanjaan, sebaliknya pelaburan jangka panjang dalam ekosistem sukan negara. Jurulatih berkualiti bukan sahaja membentuk juara, malah membina sistem latihan yang mampan dan berterusan.

Jika hasrat untuk terus kekal relevan di pentas antarabangsa mahu direalisasikan, reformasi pada peringkat pengurusan sumber manusia perlu diberi keutamaan.

Laungan 'kaji balik gaji jurulatih' bukan sekadar retorik mesyuarat -- ia isyarat jelas bahawa wushu negara memerlukan sokongan lebih kukuh untuk terus melangkah ke hadapan.

Topik Berkaitan

Must Watch Video