Kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea dikenakan denda sebanyak GBP10.75 juta (RM55.97 juta) serta larangan perpindahan pemain selama setahun yang ditangguhkan selepas didapati melanggar beberapa peraturan liga pada masa lalu.
Selain itu, kelab dari barat London itu turut menerima larangan mendaftarkan pemain akademi selama sembilan bulan yang berkuat kuasa serta-merta sebagai sebahagian daripada tindakan disiplin yang dikenakan.
Advertisement
Hukuman berkenaan berpunca daripada maklumat yang diserahkan kepada pihak liga oleh konsortium diketuai ahli perniagaan Amerika Syarikat, Todd Boehly, selepas mereka mengambil alih Chelsea daripada jutawan Rusia, Roman Abramovich, pada 2022.
Hasil siasatan mendapati bahawa antara 2011 hingga 2018, terdapat beberapa pembayaran yang tidak didedahkan dilakukan oleh pihak ketiga yang mempunyai kaitan dengan kelab kepada pemain, ejen yang tidak berdaftar serta beberapa pihak lain.
Bagaimanapun, pihak liga menjelaskan bahawa walaupun pembayaran berkenaan tidak didedahkan sebelum ini, ia telah dimasukkan dalam laporan kewangan lama dan tidak menyebabkan Chelsea melanggar peraturan Keuntungan dan Kelestarian (PSR) liga.
Liga turut mengambil kira tindakan Chelsea yang secara proaktif melaporkan sendiri isu berkenaan, selain mengakui kesalahan dan memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan, sekali gus mempengaruhi tahap hukuman yang dikenakan.
Dalam perkembangan sama, The Football Association (FA) turut mendakwa Chelsea atas 74 pelanggaran peraturan badan induk bola sepak England itu, yang juga berkait dengan maklumat yang didedahkan oleh pemilik baharu kelab berkenaan.