Kegemilangan skuad sepak takraw lelaki negara dalam kejohanan tahun ini bukan sahaja membuahkan dua pingat emas, malah turut mencipta detik bersejarah apabila berjaya menamatkan kemarau kejuaraan selama 34 tahun dalam acara regu berpasukan.
Kejayaan tersebut mengimbau nostalgia buat apit kanan skuad emas Sukan SEA 1991, Baharum Jahar, yang menyifatkan pencapaian cemerlang kali ini sebagai hasil daripada jiwa bermain sebagai satu pasukan.
Advertisement
Menurut Baharum, jika dinilai daripada sudut corak permainan dan taktikal, skuad negara sebenarnya tidak jauh bezanya dengan pasukan Thailand.
“Jika mahu dibandingkan permainan dan taktikal, tiada perbezaan ketara antara kita dan Thailand. Kedua-dua pasukan ada kekuatan dan kelemahan masing-masing,” katanya.
Namun, beliau menegaskan bahawa jiwa berpasukan merupakan elemen paling penting yang sekian lama hilang, sekali gus menjadi kunci utama kejayaan selepas penantian selama lebih tiga dekad.
“Pokok pangkalnya adalah hati dan jiwa. Sebelum ini, pemain hanya bermain dengan kudrat, tanpa jiwa. Jiwa itu perlu — jiwa untuk diri sendiri, jiwa untuk negara dan jiwa untuk bangsa. Kudrat sahaja tidak cukup, jiwa mesti bergerak seiring,” jelasnya.
Tambah beliau, gabungan antara kekuatan fizikal dan semangat berpasukan itulah yang akhirnya membuahkan kejayaan kepada skuad negara.
Bagaimanapun, Baharum mengingatkan agar kejayaan ini tidak membuatkan pasukan leka atau terlalu berbangga diri.
“Kita tidak boleh cepat berpuas hati. Perjalanan kita masih panjang. Selepas Sukan SEA, kita ada Piala Raja Thai, Piala Dunia dan sasaran lebih besar — memenangi Sukan Asia. Jika mahu menjadi nombor satu, itulah penanda aras sebenar,” katanya.