Skip to main content

Sukan Lain

Graduan sains sukan negara: Harapan, permata atasi krisis sukan negara

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

sains sukan

Malaysia sedang berdepan krisis sukan yang semakin ketara dan sering diperdebatkan iaitu tiada pengganti kepada legenda sukan negara, isu pembangunan bakat akar umbi, prestasi sukan yang tidak menentu, kecederaan atlet yang berulang, fasiliti sukan yang terhad, hala tuju sukan negara yang sering berubah mengikut kepimpinan.

Dalam kekalutan ini, kita sebenarnya memiliki sumber manusia paling bernilai yang terhasil setiap tahun tetapi masih kurang dimanfaatkan iaitu graduan sains sukan negara.

Advertisement

Mereka bukan hanya sekadar graduan lepasan Universiti, malahan juga bekas pemain sukan. Jika dimanfaatkan dengan betul, mereka akan menjadi tenaga pakar masa depan dan menjadi pemangkin transformasi sukan Malaysia.

Generasi graduan sains sukan hari ini datang dengan pakej yang tidak pernah wujud 20 tahun lalu. Mereka dilengkapi ilmu anatomi, fisiologi, biomekanik, psikologi, analisis prestasi, terapi dan rehabilitasi serta pengetahuan teknologi sukan moden.

Malah, ada di antara mereka adalah bekas pemain sekolah, negeri dan kebangsaan. Graduan sains sukan juga, ada yang memilih untuk menjadi cikgu dan telah diterapkan dengan subjek Pendidikan iaitu bagaimana memberi latihan, arahan dan motivasi yang betul.

Dengan kata lain, mereka memiliki bahasa dan metodologi sains yang diperlukan oleh atlet bertaraf dunia. Namun, ironi terbesar isu sukan Malaysia ialah kita masih mengabaikan kepakaran sukan tempatan sedia ada dan tidak memberi peluang dan ruang kepada mereka untuk memimpin kelab, persatuan ataupun pusat sukan.

Kepimpinan yang jadi keperluan dari bidang sains sukan diabaikan dan diberikan kepada bukan bidang.

Lebih membimbangkan, apabila keputusan tentang sukan dibuat secara “rasa”, “andaian”, dan “pengalaman lama” tanpa data saintifik yang kukuh. Graduan sains sukan dilatih untuk membuat keputusan berdasarkan bukti dan keberkesanan kajian penyelidikan dan bukan kerana retorik emosi atau politik.

Mohon, jangan berpolitik dalam sukan kerana kita akan terus ketinggalan dan berdasarkan statistik semasa, negara ASEAN lain telah pun memperolehi pingat emas Sukan Olimpik.

 

 

 

Graduan sains sukan diperlukan untuk membawa disiplin baharu iaitu latihan berasaskan data, pemantauan beban latihan, sistem kecergasan digital dan ai, analisis prestasi yang tepat dan aplikasi teknologi sukan moden. Jika negara mahu keluar daripada krisis, perubahan mindset inilah yang menjadi asasnya.

Graduan ini juga merupakan kumpulan profesional yang memahami struktur pembangunan atlet secara menyeluruh iaitu dari akar umbi hingga ke podium. Mereka tahu di mana rantaian kita bocor, di mana bakat kita hilang, mengapa kecederaan berulang, apa yang perlu dilakukan sekiranya tiada fasilti sukan dan bagaimana meminimumkan risiko kegagalan sistemik.

Mereka bukan sekadar pemerhati, tetapi problem solver yang terlatih. Mengapa kepakaran ini masih belum diarusperdanakan di setiap negeri, di setiap program, di setiap kepimpinan sukan negara? Tolong mohon semak setiap jawatan sukan yang ada, pastikan ia diletakan di suatu tempat yang betul.

Lebih agresif lagi, kita perlu mengakui bahawa sesetengah krisis sukan berpunca daripada pengurusan lapuk yang enggan berubah. Dunia bergerak dengan teknologi sukan, analisis AI, wearables dan big data. Tetapi kita masih sibuk berpolitik.

Graduan Sains Sukan datang dengan kefahaman sains dan teknologi, mereka tahu bagaimana memanfaatkan maklumat prestasi untuk mempercepat hasil latihan dan mengurangkan kecederaan. Mereka bukan pesaing kepada jurulatih dan pengurus, tetapi katalis untuk memperkuat keputusan  kejurulatihan dan pengurusan sukan.

Kita boleh lihat hasil pada masa kini apabila banyak sekolah biasa atau sekolah kampung mampu bersaing dengan sekolah projek sukan kerana graduan sains sukan sedia ada yang juga bekas atlet ditempatkan di setiap pelusuk sekolah dalam Malaysia sebagai cikgu Pendidikan Jasmani dan Sains Sukan.

Namun, akan tetapi apabila kepimpinan sukan itu sendiri bukan dari bidang sukan maka bakat bakat yang terhasil ini telah dipersia-siakan sahaja. Dari sudut pemulihan kecederaan dan kecergasan atlet, graduan sains sukan mampu menjadi benteng awal sebelum atlet “rosak” atau mengalami kecederaan jangka panjang.

 

 

Krisis kecederaan kronik yang menghantui sukan negara selama ini tidak akan selesai jika kita terus mengabaikan tenaga pakar yang sudah tersedia.

Dengan penempatan terancang, sistem sokongan multidisiplin, peluang dan ruang kepimpinan sukan, pelaburan fasiliti dan teknologi sukan dan inilah standard negara maju yang kita belum capai dalam bidang sukan.

Dalam masa yang sama, graduan sains sukan juga memiliki kemahiran kepimpinan, pengurusan sukan dan perancangan strategik. Mereka memahami governance sukan, risiko tadbir urus, serta keperluan mewujudkan budaya sukan prestasi tinggi.

Kalau kita masih tidak boleh terima graduan sukan berpakaian sukan semasa waktu kerja atau belajar, ataupun staff sukan memperuntukan masa sejam bersukan pada waktu rehat. Sudah tentu ada yang tidak kena pada governance tersebut. 
Malaysia memerlukan pemimpin sukan yang bukan sahaja hebat berpersatuan, akan tetapi profesional yang faham dan memahami bagaimana prestasi dibentuk melalui sistem sukan yang betul.

Graduan sains sukan adalah calon ideal untuk peralihan ini.

Kesimpulannya, Malaysia sebenarnya memiliki “graduan ilmiah” dalam sukan akan tetapi belum memberi mereka ruang dan peluang untuk berperang dalam arena sukan. Graduan Sains Sukan negara bukan sekadar jawatan kosong untuk diisi, tetapi kunci utama mengubah landskap sukan nasional. 

Jika pengurusan sukan tertinggi negara benar-benar mahu keluar daripada krisis, langkah pertama ialah memberi kepercayaan kepada golongan ini untuk memimpin sains, teknologi, inovasi dan pembangunan atlet. 

Masa depan sukan Malaysia tidak akan berubah dengan retorik, tetapi dengan keberanian memberi kuasa kepada mereka yang tahu bagaimana untuk memulihkan dan memajukan bidang mereka. Akhir kata, menginovasi penyelesaian lestari demi masa depan sukan negara.

 

Ts Dr Hadafi Fitri Bin Mohd Latip
Pensyarah Kanan Sains Sukan
Universiti Teknologi Malaysia

Must Watch Video