Bekas Ahli Jawatankuasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Zainal Abidin Hassan, mengharapkan sesetengah pihak agar tidak menuruti rasa cemburu melihat kelab lain mampu berkembang maju dalam Liga Malaysia (Liga-M).
Dengan mengharapkan pasukan teratas agar memperlahankan langkah cemerlang mereka, ia dianggap tidak sihat selain ia tidak menepati saranan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mahu melihat semua negara merasai kemajuan bola sepak di peringkat tertinggi.
Advertisement
Zainal Abidin turut menegur sikap sesetengah pasukan yang mudah membuat keputusan yang akhirnya merugikan diri sendiri, namun kemudian memilih untuk menyalahkan orang lain.
"Mereka tidak sampai kepada (tahap) yang diingini dan juga mereka tidak ada program.
"Perancangan itu penting. Seseorang jurulatih itu boleh dibuang selepas tiga perlawanan.
"Apabila jurulatih dan pemain dibuang, inilah pembaziran kerana perlu membayar pampasan kontrak serta mengambil jurulatih yang baru.
"Jadi terus menyalahkan Liga Malaysia dan menyalahkan apa yang mereka gagal lakukan.
"Ini tidak adil buat pasukan lain, inilah yang perlu dibincangkan jika mereka duduk semeja," katanya di Nadi Arena.
Pelbagai pandangan dan pendekatan disarankan atas dasar mahu melihat liga ditakuk lebih baik, namun Zainal Abidin menegaskan jika ada penyelesaian, ia harus bersifat memajukan liga.
Semua pasukan perlu bijak ukur baju di badan sendiri dengan memiliki misi jelas, pasukan masing-masing perlu ikut kemampuan diri sendiri.
"Tak buat kerja, tak tengok rumah sendiri tapi tiba-tiba melenting.
"Ini tidak adil kerana ada pasukan yang sudah maju ke depan.
"Kita patut bangga kerana ada pasukan yang membawa nama Malaysia ke tahap yang begitu jauh dalam bola sepak.
"Kita cemburu dan mahu ubah (pendekatan pula).
"Saya rasa ini ini adalah benda yang tidak sihat," katanya.