Peguam sukan, Richard Wee, menegaskan tiada istilah petanda positif apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bersetuju untuk membenarkan tujuh pemain warisan negara beraksi dalam kelab pilihan masing-masing ketika ini.
Isu pemalsuan dokumen ini turut mengheret Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), namun ia masih dalam penilaian tanpa sebarang keputusan rasmi dikeluarkan Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS).
Advertisement
Hakikatnya, kebenaran untuk tujuh pemain tersebut kembali beraksi bersama kelab masing-masing adalah perkara normal dalam arena perundangan.
"Saya terbaca di laman sosial bahawa FAM akan menang. Tidak, tidak seperti itu.
"Mereka mohon CAS agar memberi peluang buat pemain mencari rezeki," katanya.
Ketika ramai yang mengharapkan, CAS mampu menterbalikkan keputusan dan hujah daripada dokumen yang dilampirkan FIFA, Richard melihat hujahan badan dunia di peringkat jawatankuasa disiplin dan jawatankuasa rayuan itu adalah kemas dan kukuh.
Namun, keadaan mampu berubah sekiranya barisan peguam yang mewakili FAM dan tujuh pemain warisan memiliki bukti yang lebih kukuh dan istimewa.
Jika ia berlaku, pengurangan hukuman dilihat sebagai perubahan maksimal yang mampu berlaku kepada FAM dan tujuh pemain warisan terbabit.
"CAS mungkin boleh mengesahkan keputusan tersebut. Saya nampak ia mungkin akan berlaku.
"Saya fikir FIFA telah mengemukakan bukti kukuh. Kalau FAM boleh mengemukakan isu-isu baru atau isu teknikal, contohnya FIFA tersalah interpretasi.
"CAS boleh ambil kira hujahan sebegitu dan mungkin terdapat dua pilihan.
"Yang pertama, menolak keputusan FIFA atau membuat sedikit penukaran terhadap keputusan FIFA," katanya.