Bekas penyerang negara, Zaquan Adha Abdul Radzak, menegaskan perancangan Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk meningkatkan keampuhan menjelang musim depan bukan sekadar 'sembang kencang', sebaliknya mampu direalisasikan.
Keazaman itu hadir selepas Harimau Selatan melakar sejarah apabila melangkah ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) untuk menjadi penanda aras untuk pergi lebih jauh pada musim depan.
Advertisement
"JDT sebuah pasukan yang saban tahun mahu menjadi lebih baik.
"Sejak tahun pertama lagi di JDT, TMJ sering bercakap tentang perubahan dan itulah hasilnya sekarang.
"JDT bukan bercakap sahaja seperti yang dibuktikan apabila layak ke suku akhir ACLE buat pertama kali.
"Jadi JDT akan jadi lebih hebat pada tahun depan," katanya.
Zaquan juga tidak menolak kemungkinan JDT akan mengikut jejak langkah kelab-kelab besar Timur Tengah dengan membawa masuk pemain bertaraf dunia bagi memperkukuhkan pasukan.
"JDT pernah membawa masuk pemain berkelas dunia contohnya Pablo Aimar dan JDT mampu melakukan sesuatu yang mustahil.
"Pemain berkelas dunia akan merancakkan Liga Malaysia.
"Ia sesuatu yang menarik untuk disaksikan apabila mereka bermain untuk kelab Malaysia," katanya di Nadi Arena.