Sejauh manakah tahap pencapaian paling membanggakan buat bola sepak negara? Apakah mekanisme penilaian yang digunakan?
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal membuka lembaran baharu apabila menyambut 100 tahun penubuhan pada minggu lalu dengan objektif yang sama; memperkasa pembangunan bola sepak tempatan.
Jadi, persoalan paling terbesar; adakah badan induk itu akan melalui pembaharuan atau meneruskan kesinambungan?
FAM memperkenalkan Liga Semi-Pro pada 1989 sebelum dinaik taraf kepada Liga Profesional dan penubuhan Liga Super Malaysia pada 2004. Banyak bakat tempatan dilahirkan daripada inisiatif ini, skuad kebangsaan juga telah menghadapi pelbagai perlawanan, namun hakikatnya, kita belum lagi kuasa besar Asia. Malah, berhempas-pulas dengan seteru Asia Tenggara.
Jika ditanya, sudah pasti dua kejayaan utama yang paling membanggakan setakat ini hanya menjuarai Piala AFF pada 2010 dan layak secara merit ke Piala Asia 2023 di Qatar selepas 43 tahun.
Ujian sebenar selepas ini wajib memenuhi aspirasi rakyat yang mendambakan penyertaan Piala Asia secara konsisten, mahupun beraksi dalam Sukan Olimpik. Piala Dunia wajar menjadi keutamaan kerana sampai bila impian tersebut sekadar angan-angan sahaja?
Sepatutnya satu dekad ini disambut dengan penuh gemilang, tetapi dihimpit dengan skandal gelap terburuk dalam sejarah sehingga menarik perhatian seantero dunia.
Tahukah anda? September akan terus menjadi peristiwa penting buat FAM. 11 September memasuki ulang tahun ke-100. 25 September? Cukup setahun tarikh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menggoncang dunia dengan menggantung tujuh pemain akibat pemalsuan dokumen.
Dan, 17 September ini semua mata tertumpu pada Kongres Luar Biasa FAM Kedua bagi memilih Jawatankuasa Eksekutif bagi baki penggal 2025/2029.
Pertembungan satu lawan satu antara Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Moktar, menentang Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, merebut kerusi panas sudah mula menabur manifesto demi meraih sokongan.
Siapa-siapa sahaja yang dipilih, perkara utama yang perlu dilakukan adalah memulihkan segera imej bola sepak negara dan segara merencana hala tuju baru di samping penetapan sasaran buat Harimau Malaya.
Piala FIFA ASEAN semakin hampir. Kejohanan pertama dengan presiden baharu .
Surat terbuka buat FAM; seluruh peminat mahukan perubahan. Dan, perubahan bermula dengan tanggungjawab. Buat mereka yang dipilih , bawalah bola sepak Malaysia kembali mengaum semula.