Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Liga A1 Semi-Pro: USM FC rancang guna kudrat tempatan

j

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed, memberi sokongan penuh kepada USM FC untuk melangkah ke Liga A1 Semi-Pro musim depan.

Ujarnya, pentas Liga A1 mampu menjadi platform terbaik bagi memartabatkan nama USM ke tahap yang lebih tinggi.

Advertisement

Dia percaya, dengan komitmen semua pihak, tidak mustahil USM mampu mencipta kejutan dalam saingan akan datang.

"Mereka telah bekerja keras, cuma tidak berjaya di peringkat final sahaja.

"Ini salah satu cara untuk USM dikenali di luar sana.

"Kami tahu kos pengurusan bola sepak agak tinggi jadi kami akan cuba yang terdaya untuk membantu," katanya.

Presiden USM FC, Mohd Azizudin Mohd Shariff, mengakui pengalaman beraksi dalam Liga Perdana dari 2010 hingga 2012 mampu dijadikan bekalan terbaik meskipun pasukannya bakal mempertaruhkan keseluruhan tenaga anak tempatan.

Untuk rekod, USM meraih slot automatik ke Liga A1 musim depan selepas muncul naib juara Liga A2 musim ini.

"Kami sedang berusaha keras mendapatkan penajaan dan (kelulusan daripada) pengurusan tertinggi USM.

"Kami akan kekalkan 90 peratus kakitangan sedia ada dan tiada perancangan pemain import demi kelestarian USM.

"Ia akan menjadi tahun pendedahan buat kami," katanya.

 

Must Watch Video