- Hari pertama Kejohanan Boling Padang Singles dan Pairs Kebangsaan 2026 menyaksikan kejutan terbesar berlaku apabila taruhan utama, Soufi Rusli, tewas di peringkat Kumpulan G di Ipoh, hari ini.
Namun, kejatuhan prestasi itu bersifat sementara apabila Soufi kembali bangkit menang dalam beberapa aksi seterusnya dalam misi menempatkan diri ke kelompok 16 pemain — dengan syarat muncul juara kumpulan.
Tumpuan khusus diberikan kepada pemain senior negara itu yang turut berada dalam Program Podium dan sebelum saingan bermula, ketua jurulatih negara, Fairul Izwan Abd Muin, menetapkan bahawa sasaran kesemua atlet elit seharusnya layak ke suku akhir kejohanan.
Namun, lumrah sukan boling padang, elemen keterbukaan menjadi ruang dieskploitasi pemain bukan pilihan untuk mencipta kejutan yang menyaksikannya diberi tentangan sengit wakil dari Perlis, Abdul Akim Afif, sepanjang permainan.
Kedua-dua pemain tersebut berperang psikologi sehinggalah Akim menang straight set, 6-5, 9-6.
Tersentak, Soufi bangkit dalam dua pertembungan seterusnya -- menumpaskan Fadley Jabal dan Ahmad Zaim --untuk kembali di landasan tepat ke pusingan kalah mati.
"Mutu permainan saya di tahap baik biarpun kalah satu game kepada pemain Perlis.
"Apabila berhadapan pemain lebih rendah, saya percaya bahawa mereka mampu melakukan kejutan, mereka akan berhabis-habisan untuk mengalahkan saya.
"Saya perlu berikan 120 peratus usaha untuk mengalahkan mereka," katanya.