Bekas juara dunia 100 meter, Fred Kerley, digantung selama dua tahun susulan kegagalan mematuhi peraturan keberadaan anti-doping.
Keputusan itu dibuat oleh tribunal disiplin selepas bintang pecut Amerika Syarikat (AS) itu merekodkan tiga kegagalan dalam melaporkan lokasi di antara 11 Mei dan 6 Disember 2024.
Advertisement
Ketua Unit Integriti Olahraga (AIU), Brett Clothier, menegaskan peraturan pelaporan lokasi merupakan elemen penting bagi memastikan integriti sukan terpelihara.
“Sesetengah bahan doping hanya dapat dikesan dalam tempoh yang sangat singkat, justeru badan anti-doping mempunyai keupayaan untuk menjalankan ujian mengejut pada bila-bila masa,” katanya.
Menurut Kod Anti-Doping Dunia, seseorang atlet dianggap melanggar peraturan sekiranya gagal melaporkan lokasi atau terlepas ujian doping sebanyak tiga kali dalam tempoh 12 bulan.
AIU memaklumkan tribunal tidak mempertimbangkan satu lagi kegagalan yang didakwa berlaku pada 7 Disember lalu kerana tiga pelanggaran pertama sudah memadai untuk mensabitkan kesalahan.
Dalam pembelaannya, Kerley tidak mempertikaikan walau satu kegagalan melaporkan lokasi pada 13 Jun, namun mendakwa masalah teknikal aplikasi Agensi Anti-Doping AS (USADA) serta faktor pegawai kawalan doping menjadi punca dua lagi kegagalan ujian sebelumnya.
Kerley sebelum ini juga pernah digantung sementara oleh AIU Ogos tahun lalu, sekali gus terlepas saingan Kejohanan Olahraga Dunia di Tokyo pada September lalu.
Tempoh penggantungan tersebut akan berkuat kuasa sehingga 11 Ogos 2027, manakala semua keputusan pertandingan yang dicatatkan dari 6 Disember 2024 hingga 12 Ogos 2025 turut dibatalkan, termasuk hadiah wang tunai, trofi dan gelaran yang dimenanginya.
Selain itu, Kerley turut diarahkan membayar kos guaman berjumlah kira-kira RM15,990 kepada Olahraga Dunia.
Kerley sebelum ini mencipta sensasi apabila menjuarai acara 100m dalam Kejohanan Dunia 2022 selain membantu AS meraih emas acara 4x100m dalam kejohanan sama dalam edisi 2019 dan 2023.
Dia juga menaiki podium dalam dua edisi Sukan Olimpik berturut-turut dengan meraih perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan gangsa Sukan Olimpik Paris 2024.
Bagaimanapun, keputusan tribunal itu masih boleh dirayu di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS)