Skip to main content

Badminton

BAC: Pertahan kejuaraan lebih sukar -- Herry beri amaran kepada Aaron-Wooi Yik

BAC: Pertahan kejuaraan lebih sukar -- Herry beri amaran kepada Aaron-Wooi Yik

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, melaungkan amaran awal bahawa mempertahankan gelaran adalah cabaran jauh lebih sukar berbanding meraihnya.

Amaran itu hadir menjelang aksi juara bertahan negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, yang bakal turun beraksi di Ningbo, China dari 7 hingga 12 April ini.

Advertisement

Pasangan nombor dua dunia itu mencipta sensasi apabila muncul juara edisi lalu, namun menurut Herry, cabaran sebenar hanya akan bermula tidak lama lagi apabila semua lawan hadir dengan misi menjatuhkan mereka.

“Mempertahankan kejuaraan sentiasa lebih sukar. Semua pasangan akan mengkaji corak permainan kita dan datang dengan strategi baharu,” jelas Herry.

Dia menegaskan, Aaron-Wooi Yik perlu tampil lebih tajam serta konsisten, khususnya bagi mengatasi ancaman utama dari Korea Selatan, gandingan Kim Won-ho dan Seo Seung-jae.

Ini susulan kekalahan pasangan Malaysia itu dalam dua pentas final berturut-turut musim ini -- Terbuka Malaysia dan Seluruh England -- yang kedua-duanya berakhir dengan pertarungan tiga set sengit.

Bagi mengubah momentum, Herry kini menggunakan pendekatan lebih saintifik termasuk analisis video bagi memperincikan kelemahan dan memperbaiki aspek teknikal anak buahnya.

Sementara itu, Malaysia turut mempertaruhkan beberapa lagi beregu lelaki termasuk pasangan profesional Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani, selain gandingan muda Wan Arif Junaidi dan Yap Roy King.

Kehadiran barisan pemain ini menjadikan saingan di Ningbo dijangka sengit seawal pusingan pertama.

Bagi Arif dan Roy King, sasaran jelas diletakkan -- sekurang-kurangnya menamatkan saingan di podium. Namun mereka turut realistik dengan menetapkan sasaran minimum mara ke suku akhir sekiranya gagal mencapai objektif utama.

“Kami tahu persaingan sangat sengit, tetapi fokus kami adalah memberikan aksi terbaik di setiap perlawanan,” kata Arif.

Dalam masa sama, pasangan muda itu tidak mahu terlalu memikirkan perebutan tempat ke Piala Thomas bagi mengelakkan tekanan menjejaskan prestasi mereka di gelanggang.

Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik muncul juara edisi lalu, manakala Arif dan Roy King sekadar terhenti di pusingan kedua.

Kejohanan di Ningbo ini dilihat sebagai pentas penting buat beregu negara membuktikan kemampuan sebenar, terutama selepas beberapa aksi kurang memberangsangkan sebelum ini.

Topik Berkaitan

Must Watch Video