Bekas penyerang negara, Azlan Johar, mencadangkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, kembali menerajui tampuk pimpinan tertinggi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Menurutnya, segala isu yang sedang melanda bola sepak negara ketika ini memerlukan kewibawaan Al-Sultan Abdullah untuk mengembalikan FAM di tempat yang sepatutnya.
Advertisement
Bekas gandingan kepada legenda negara, Mokhtar Dahari, itu turut berpendapat, Al-Sultan Abdullah juga mampu mengembalikan kemeriahan bola sepak tempatan dan menyatu-padukan segenap peminat bola sepak negara.
Dalam satu temu bual di Nadi Arena, beliau berkata: "Sudah tiba masanya kita sedar bahawa FAM perlu diterajui oleh seseorang yang sangat berpengalaman dan berwibawa.
"Pada pandangan saya, Tuanku Sultan Pahang -- saya harapkan dapat kembali semula ke pangkuan FAM untuk membantu dan rakyat dapat kembali bergembira dan menyemarakkan bola sepak Malaysia.
"Walaupun kita sedar untuk layak ke Piala Dunia merupakan satu perkara yang paling jauh, sekurang-kurangnya kita menginginkan kerancakan dan kemeriahan seperti dulu.
"Tidak apalah kita menjadi juara kampung sekalipun, rakyat perlu gembira untuk ke stadium beramai-ramai bagi menyokong pasukan mereka."
Seorang lagi bekas pemain negara, Lim Teong Kim, turut melontarkan pandangan sama.
"Ini bukan tentang gelaran atau kuasa, ini adalah tentang menyelamatkan sukan ini," katanya kepada sebuah media tempatan
"Apa yang diperlukan ketika ini ialah kewibawaan, bukannya alasan.
"Anda tidak boleh memperbaiki rumah yang rosak dengan cat. Anda perlu perbaiki strukturnya.
"Al-Sultan Abdullah mengenali peraturan bola sepak dunia, Baginda memahami bagaimana keputusan dinilai di peringkat antarabangsa, bukan sekadar di peringkat tempatan.
"Baginda tidak berselindung apabila sesuatu perkara menjadi serba tidak betul. Baginda mendengar, Baginda bertindak dan Baginda bertanggungjawab."
Minggu lalu, barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM bertindak meletakkan jawatan beramai-ramai susulan skandal pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan.