Perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan juara Piala J-League 2025, Sanfrecce Hiroshima, di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Rabu ini, ibarat misi membalas dendam.
Umum mengetahui sebelum ini, Harimau Selatan dan juara empat kali liga Jepun itu pernah bertemu di peringkat kumpulan, namun pertemuan tersebut tidak memihak anak buah Cisco Munoz dan berakhir dengan kekalahan 1-2.
Advertisement
Keputusan tersebut bukanlah kayu pengukur sebenar apabila sebelum ini JDT terpaksa bermain dengan 10 pemain ekoran pertahanan kiri, Jonathan Silva, dilayangkan kad merah seawal minit ke-15.
Selepas bermain hampir 75 minit dalam keadaan kekurangan pemain, mereka masih mampu tampil dengan prestasi memberangsangkan.
Bagi bekas tonggak kebangsaan, Razman Roslan, keupayaan untuk membawa bekalan mencukupi ke perlawanan timbal balik sangat tinggi, hasil dari kelebihan laman sendiri dan harapan diletakkan untuk tiada lagi kesilapan kad merah berlaku.
"Peluang terbuka dan ada sedikit kelebihan buat JDT yang akan bermain di tempat sendiri.
"Mereka perlu perbaiki kelemahan tempoh hari untuk beraksi pada Rabu ini," katanya di Nadi Arena.
Razman juga beranggapab adalah tidak mustahil untuk JDT mengejutkan tahun lalu itu apabila sebelum ini Harimau Selatan mampu mengaum garang ketika menundukkan kelab Jepun seperti Vissel Kobe.
"Kelab Jepun memiliki pemain berkualiti. Tetapi bermain di Johor, saya ingin melihat JDT mampu tampilkan kemampuan sebenar.
"Saya tidak terkejut kalau mereka menang, kerana mereka pernah menewaskan Vissel Kobe.
"Insya-Allah ada bekalan untuk dibawa bagi pertemuan kedua," katanya lagi.