"Saya harap JDT akan jumpa pasukan Karim Benzema," kata bekas pemain kebangsaan dan Johor, Hasnizam Uzir, yang menganggap pertemuan dengan kelab elit Asia seperti Al-Ahli mampu memberikan pengalaman terbaik buat Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Baginya, skuad kendalian Xisco Munoz itu akan merintis ranjau berbeza pada ketika mereka kini sedang menantu penuh debar undian suku akhir kejohana itu selepas melakar sejarah mara ke kelompok lapan kelab terbaik Asia.
Advertisement
Selain Benzema, Al-Ahli juga dibintangi nama besar lain seperti Ivan Toney, Riyad Mahrez dan Edouard Mendy
"JDT juga pasti memiliki keinginan untuk bersaing dengan kelab seperti ini, di mana ia akan jadi satu motivasi buat mereka, bukan hanya kepada pemain tetapi juga buat pengurusan dan peminat," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Kerana inilah pasukan yang mewakili negara kita bersaing di peringkat Asia, di mana kita perlu bersatu memberikan sokongan dan ia pasti memberikan anjakan paradigma buat bola sepak negara.
"Kalau boleh saya mahu melihat mereka bertemu pasukan yang kuat seperti pasukan yang memiliki Benzema.
"Kerana ia merupakan satu daya tarikan untuk kita melihat kemampuan sebenar pasukan dari negara-negara Arab ini, yang pernah layak ke Piala Dunia (Kelab) sebelum ini.
"Kalau kita lihat, pasukan dari Jepun dan Korea Selatan memiliki keiinginan yang begitu tinggi, pasukan-pasukan Arab pula memiliki kemampuan teknikal yang baik dan taktikal berbeza.
"Apapun, kesemua mereka memiliki misi yang sama, mereka ingin mencipta kejayaan."