Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Persatuan Raket Skuasy Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (SRAFTKL) akan kembali untuk edisi kedua dari 31 Mac hingga 5 April depan, dengan peningkatan status kepada kejohanan bertaraf 'Emas' dalam kalendar Jelajah Remaja Asia.
Penganjuran kali ini, yang merupakan hasil kerjasama Kumpulan Touch 'n Go selaku rakan strategik, mencatat lonjakan penyertaan kepada 722 pemain daripada 17 negara, berbanding 583 pemain daripada 14 negara tahun lalu.
Advertisement
Ia termasuk penampilan atlet dari Austria, Jordan, Macau dan Rusia.
Sebagai platform pembangunan bakat muda, kejohanan itu, yang akan berlangsung di Gelanggang Skuasy Majlis Sukan Negara, Jalan Duta dan Universiti Malaya (UM), akan mempertandingkan acara B-9 hingga B-19 tahun dalam kategori lelaki dan wanita.
Pengerusi Penganjur, Syed Kebir, berkata kepada wartawan Astro Arena, Ainul Abd Rouf: "Bagi jumlah pemain tempatan, kami memiliki sekitar 527 pemain.
"Ia merupakan sebahagian daripada acara Siri Super Skuasy Remaja dan ia merupakan satu kejohanan yang amat terkenal dalam kalendar jelajah remaja ini.
"Kerana ia merupakan kategori Emas, pemain remaja yang datang dari sekitar Asia dan Eropah akan mendapat lebih mata apabila bermain di sini."