Skip to main content

Sukan Lain

Zaidatul perlu fokus Sukan Asia

zaidataul-2404.jpg
"Lupakan Sukan Komanwel, fokus rekod kebangsaan," demikian saranan jurulatih olahraga negara, M. Balamurugan, terhadap Zaidatul Husniah Zulkifli untuk cuba memperbaiki catatan masa terbaik selepas rekod 11.45 saatnya masih belum diiktiraf.

Catatan masa 11.45s Zaidatul yang mengatasi rekod 11.50s milik bekas pelari pecut, G. Shanti, masih belum diiktiraf secara rasmi sebagai rekod kebangsaan.

Justeru, Balamurugan mahu anak buahnya itu tidak lagi membuang masa untuk melakukan larian terbaik dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia bulan depan sehingga melakukan 11.45s sekali lagi bagi memastikan rekod itu berjaya diiktiraf.

Mara ke separuh akhir Sukan Komanwel lalu sudah dianggap satu pencapaian memuaskan, namun catatan masa yang lebih pantas masih ditagih daripadanya, khususnya dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos nanti.

"Ketika sesi latihan, saya sudah dapat memantau perkembangannya. Kini dia dia sudah dapat berlari di bawah 11.50s, cuma belum ada rezeki lagi. 

"Mungkin dalam mana-mana kejohanan atau Sukan Asia, dia akan memecahkan rekod baru," kata Balamurugan.

Perancangan terdekat yang diharapkan Balamurugan untuk Sukan Asia adalah latihan intensif di luar negara dan perkara itu akan dibincangkan lebih mendalam bersama Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) selepas berakhir Terbuka Malaysia.

"Setakat ini, tiada perancangan untuk kemana-mana. Mungkin dalam masa terdekat, kami akan berbincang dengan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) atau mungkin dengan ketua jurulatih, Zainal Abas, terlebih dahulu," katanya.

Advertisement

Must Watch Video