Skip to main content

Sukan Lain

Yazid jamin masalah NAAM selesai sebelum akhir bulan depan

5217yazid.jpg
Presiden Persatuan Memanah Malaysia (NAAM), Mohamad Yazid Yahya, memberi jaminan masalah dalaman persatuan itu dapat diselesaikan sebelum berlangsungnya mesyuarat agung tahunan (AGM), bulan depan.

NAAM mengalami pergolakan selepas lima ahli gabungannya berdepan penggantungan apabila gagal memberi alasan akibat tidak menghadiri AGM lalu.

Mereka terdiri daripada ahli gabungan dari Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Terengganu dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum).

Andai perkara ini tidak diselesaikan, NAAM berdepan masalah untuk menghadapi pemilihan dalam AGM yang perlu diadakan sebelum 31 Mac.

"Selepas masalah jawatankuasa disiplin diselesaikan, barulah kami akan melaksanakan mesyuarat agung, termasuklah dengan apa juga permasalahan dengan pindaan perlembagaan.

"Kalau semakan pada pindaan perlembagaan itu boleh disiapkan, ia akan memudahkan kami untuk melaksanakan mesyuarat agung," katanya.

Yazid turut mengharapkan mesyuarat khas bersama Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, pada 10 Februari ini mampu menghasilkan keputusan yang positif.

Beng Choo menjadi pilihan 12 ahli gabungan NAAM untuk menjadi 'orang tengah' dalam menyelesaikan kemelut membabitkan badan induk berkenaan.

"Apa juga langkah selanjutnya kami akan patuhi. Bagaimanapun, kami faham pada 10 Februari ini, kami ada perjumpaan dengan Beng Choo.

"Di situ kami akan membuat perjumpaan dan di situ juga kami akan membuat penjelasan apa langkah seterusnya," tambahnya.

Pelbagai masalah dalaman menyelubungi NAAM ketika ini dan diharap ia tidak menjejaskan persiapan skuad memanah dalam menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur, 19-31 Ogos ini, apatah lagi memanah menawarkan 10 pingat emas. 

Masalah dalaman NAAM bermula apabila Presiden Persatuan Memanah Kedah, Datuk Abdul Hamis, mengemukakan undi tidak percaya ketika AGM NAAM, Mei tahun lalu.

Persatuan itu kemudiannya terus bergolak dengan penggantungan setiausahanya, Mohd Noor Kassim, dan bantahan terhadap presiden.

Advertisement

Must Watch Video