Skip to main content

Sukan Lain

Woods akan bangkit daripada kekecewaan terbaru

tiger-woods.jpg
Semangat melawan Tiger Woods akan membantunya melonjak daripada kekecewaan dalam Kejohanan Terbuka British kelmarin untuk memberikan satu lagi cabaran bermakna, kata Costantino Rocca.

Woods kelihatan seakan-akan sudah menemui semula tahap terbaiknya di Carnoustie hujung minggu lalu sambil dia mengancam untuk meraih kejuaraan utama ke-15 buat dirinya.

Malangnya, harapan besar legenda Amerika Syarikat itu dan peminatnya di seluruh dunia lenyap dengan catatan double bogey di lubang 11 untuknya menyudahkan cabaran dengan berkongsi tempat keenam dan kemudian mendedahkan betapa dia memarahi dirinya sendiri kerana peluang yang terlepas itu.

Rocca, antara pemain golf paling berjaya pernah dilahirkan Itali, bagaimanapun, yakin bahawa Woods lambat-laun akan mengakhiri penantian lima tahunnya untuk satu lagi kejuaraan Jelajah PGA sebagai memanjangkan senarai pencapaiannya yang buat sekian lama dibebani masalah kesakitan belakang.

“Saya masih ingat ketika dia berusia 22, 23 tahun, dia memenangi Masters dan bermain dalam Piala Ryder. Dia menakluki golf dunia dan tanpa kehadirannya, keadaannya tidak lagi sama sekarang,” Rocca memberitahu Omnisport.

“Saya fikir dia mampu kembali. Namun, jika masalah belakangnya berulang, saya tak tahulah. Tapi jika tidak dibebani sebarang kesakitan, dia menunjukkan bagaimana dia mampu bermain dan sikap (positifnya) di atas lapangan – dia tidak pernah mengalah sama-sekali.

“Apabila dia terlepas birdie di lubang 18, ia mengecewakannya kerana baginya, ia amat penting, sentiasa amat penting buatnya – putt terakhir, putt pertama, segala-galanya.

"Saya fikir Francesco (Molinari) pun belajar daripadanya kerana dia juga tidak mengalah, sebaliknya menangani cabaran lapangan dan pesaingnya,” katanya.

Kesilapan Woods, Ahad lalu, kesudahannya membenarkan Molinari untuk melakar sejarah selaku pemain pertama dari Itali menjuarai sebuah kejohanan utama.

Dua lagi legenda golf, Gary Player dan Tom Watson turut meyakini Woods akan kembali di pentas pemenang dalam Jelajah PGA selepas apa yang ditunjukkannya dalam Terbuka British itu.

Di sebalik pemain berusia 42 tahun itu belum menang sejak 2013, Player percaya ia tidak akan mengambil masa terlalu lama untuk Woods bergelar juara semula.

“Saya sangat teruja melihatnya bersaing. Kita semua perlukan Tiger Woods untuk kembali,” Player memberitahu Omnisport. "Mari kita nantikan dia memenangi satu kejuaraan dahulu.

"Dia menarik lebih ramai peminat golf daripada mana-mana pemain lain, dia mendapat lebih banyak liputan media dan orang ramai mahu menyaksikannya. Kita semua perlukan dia tampil dan menang. Dan saya fikir dia akan menang.

Watson turut berasakan sukan golf akan meraih manfaat besar daripada Woods kembali ke puncak semula.

“Tanpa sebarang keraguan, dunia golf melihat Tiger Woods berbeza daripada mana-mana pemain lain,” katanya. “Apabila dia bersaing, terdapat lebih banyak minat, lebih tinggi jumlah tontonan. Ia sesuatu yang hebat untuk golf.”

“Jika keadaan fizikalnya baik dan dia terus bermain seperti sekarang, dia pasti akan menang lagi, tiada apa-apa keraguan,” tambahnya.

 

Advertisement

Must Watch Video