Skip to main content

Tenis

Wawrinka mahu berehat pulihkan lutut

stan-wawrinka-040717.jpg
Bintang tenis Switzerland, Stan Wawrinka, berhasrat untuk berehat seketika daripada beraksi dalam usahanya untuk pulih daripada kecederaan lutut sejurus kekalahan mengejutnya dalam kempen Grand Slam Wimbledon. 

Wawrinka -- pemain pilihan kelima -- jelas bergelut dengan masalah lututnya apabila tewas 6-4, 3-6, 6-4, 6-1 kepada pemain muda Russia, Daniil Medvedev. 

Pemenang Grand Slam sebanyak tiga kali itu bergelut ketika beraksi di All England Club dan sering menekap ais ke atas lututnya sewaktu rehat. 

"Saya tidak berasa selesa seperti yang dihajati. Bagaimanapun, saya menentang seorang pemain yang mempunyai keyakinan, beraksi bagus dan pantas. Ia kekalahan yang sukar. 

"Ia dua kempen gelanggang rumput yang teruk buat saya. Saya berdepan masalah lutut sejak di Queen's (kejohanan rumput pertama), ia bukan persediaan seperti yang saya inginkan. 

"Hari ini sangat sukar. Saya menjangkakan berasa lebih sihat. Apabila bertemu lawan seperti itu, adalah sukar untuk menang."

Menurut pemain berusia 32 tahun itu lagi: "Kecederaan ini bukan baru, ia kembali berulang di mana saya menderitainya pada tahun lalu dan di Australia.

"Sejak ditimpa masalah itu, ini adalah kali pertama saya beraksi di atas gelanggang rumput. Ia bukan permukaan yang bagus untuk lutut saya. 

"Saya perlu memikirkan apakah masalah sebenarnya, apa yang perlu dilakukan sebelum kembali beraksi ketika sudah tidak berasa kesakitan lagi."

Advertisement

Must Watch Video