Skip to main content

Permotoran

Vettel lega masalah stereng tidak beri kesan

sebastian-vettel-cropped_plsyyedmnj1mzv8pc8ujsaws.jpg
Sebastian Vettel berasakan perlumbaan di GP Hungary memakan masa yang lama selepas dia mengatasi masalah pemanduan sebelum menjuarai perlumbaan di Hungaroring, malam tadi.

Vettel memimpin kejayaan satu dua pasukan Ferrari, namun mengakui rakan sepasukan, Kimi Raikkonen, "mampu pergi lebih pantas sepanjang perlumbaan berlangsung".

Raikkonen memberi bayangan ketika dihubungi menerusi radio pasukan bahawa mereka sepatutnya membenarkan dia memintas Vettel kerana mencatat kelajuan yang lebih baik.

Bagaimanapun, dia kemudian akur dengan kedudukan kedua bagi membenarkan Vettel membuka jurang 14 mata di hadapan pencabar, Lewis Hamilton.

Hamilton turut melakukan kejutan apabila dengan mudah membenarkan rakan sepasukan Mercedes, Valtteri Bottas, untuk memintasnya dalam pusingan terakhir lalu menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga.

"Saya mengharapkan perlumbaan ini berjalan dengan lancar," kata Vettel apabila mendedahkan tentang masalah stereng yang dialaminya.

"Saya dapat rasa ada sesuatu yang tidak kena sebaik meletakkan jentera di grid. Saya berasa sedikit pelik kerana kebiasannya kedudukan stereng sedikit condong ke kiri.

"Ketika pusingan pembukaan saya dapat rasa perbezaan itu, namun ia tidak terlalu mengganggu. Bagaimanapun, ia mula memberi kesan memasuki hujung perlumbaan. Kawalan jentera mula bertambah sukar.

"Sebaik tamat perlumbaan, saya yakin ada sebab mengapa stereng sepatutnya sedikit condong ke kiri dan bukannya dalam keadaan lurus.

"Saya berasakan perlumbaan itu memakan masa yang agak lama kerana saya sentiasa pandang ke bawah.

"Bagaimanapun, ini satu keputusan yang baik. Walaupun sedikit mencemaskan,  saya gembira. Ini keputusan yang baik untuk pasukan," jelas Vettel.

Sementara itu, Raikkonen kurang berpuas hati dengan kesilapan yang dilakukan ketika sesi kelayakan lalu memastikan Vettel bermula di petak depan.

"Jentera saya berada dalam keadaan baik tetapi kesilapan ketika sesi kelayakan tidak membantu saya.

"Sudah tentu saya mahu menang tetapi keputusan ini baik untuk pasukan," kata Raikkonen.

Advertisement

Must Watch Video