Skip to main content

Hoki

Van Huizen akur dengan keputusan pengadil

umpire.jpg
Ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, terpaksa akur dengan keputusan pengadil membatalkan jaringan penyamaan penyerang, Mohd Haziq Shamsul, ketika Malaysia tewas 1-6 kepada Australia dalam aksi kedua Piala Sultan Azlan Shah 2017, malam tadi.

Jika gol Haziq dikira, senarionya mungkin berbeza buat skuad negara sebelum dibedil dengan enam gol.

Gol penyamaan tersebut dibatalkan pengadil selepas didakwa mencetuskan situasi bahaya dalam kawasan D.

Keputusan tersebut menyebabkan pemain negara mula hilang rentak sehingga mengalami kekalahan terbesar kejohanan.

"Kami tahu perlawanan ini sukar kerana Australia menduduki ranking kedua dunia.

"Titik perubahan perlawanan bermula apabila gol penyamaan dibatalkan pengadil. Jika tidak, gol itu hampir pasti menyuntik keyakinan lebih tinggi terhadap pemain," jelas Van Huizen.

Sementara itu, jurulatih Australia, Colin Batch, berpuas hati dengan persembahan anak buahnya, terutama dengan aksi Tom Craig, dengan berkata:"Kami memperbaiki ketajaman di hadapan gawang. Kedudukan 1-0 kekal agak lama sebelum Craig dan Trent Mitton tampil dengan gol masing-masing."

Australia menguasai 60 minit permainan dengan pemain penyerang, Craig, muncul pemain pertama mencipta hatrik di Stadium Sultan Azlan Shah.

Rakan penyerang, Mitton, turut meledak hatrik untuk melengkapkan kemenangan besar juara bertahan itu.

Gol sagu hati Malaysia muncul menerusi penalti stroke Faizal Saari pada minit ke-42.

Kekalahan terbesar itu secara tidak langsung menjejaskan peluang mencapai sasaran mara ke peringkat seterusnya selaku empat pasukan terbaik.

Sementara itu, pemain negara mengakui melakukan banyak kesilapan mudah yang menghukum pintu gol sendiri.
 

Advertisement

Must Watch Video