Skip to main content

Sukan Lain

United Malaysia, SRD realisasi impian ahli ke Old Trafford

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

img_3573.jpg
Kelab penyokong Manchester United (MU) iaitu United Malaysia menerusi Sabah Red Devils (SRD) sekali lagi merealisasikan impian ahlinya untuk menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) membabitkan pasukan berkenaan di Old Trafford, musim ini.

Kali ini, tiga lagi individu bertuah telah terpilih ke 'Theatre of Dreams' menerusi cabutan tiket bertuah sempena dengan Makan Malam Tahunan kali ke-2 kelab penyokong berkenaan di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Selain itu, lima lagi ahli turut diberi peluang untuk terbang ke Old Trafford selepas dipilih Presiden United Malaysia dan SRD, Batholomew Jingulam kerana sumbangan dan dedikasi mereka kepada kelab penyokong itu sejak ianya ditubuhkan, kira-kira enam tahun lalu.

"Ini antara tujuan kelab ini ditubuhkan kerana selain memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada MU, kita juga mahu merealisasikan impian ahli kita untuk merasai sendiri kehangatan serta keseronokan menyaksikan perlawanan di Old Trafford.

"Sejak kelab ini ditubuhkan, lebih 200 ahli telah mencapai impian mereka ke Old Trafford dan pada musim lalu saja, saya percaya kira-kira 50 ahli telah pergi ke 'Theatre of Dream' buat kali pertama dalam hidup mereka," kata Batholomew ketika berucap sempena majlis makan malam berkenaan.

Sementara itu, beliau menyeru kepada semua ahli United Malaysia dan SRD supaya mendaftar untuk mendapatkan keahlian One United iaitu kelab penyokong yang berpengkalan di Old Trafford.

"Setiap ahli United Malaysia dan SRD yang ingin menyaksikan perlawanan di Old Trafford perlulah menjadi ahli One United terlebih dahulu.

"Sehingga hari ini, kita mempunyai seramai lebih 200 ahli yang telah mendaftar dengan One United dengan lima daripada mereka adalah pemegang tiket perlawanan bermusim.

"Kita telah menjadi kelab penyokong Manchester United ke-28 yang terbesar di dunia pada musim lalu dan saya jangkakan kedudukan itu akan lebih tinggi berikutan peningkatan ahli kita pada musim ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, pengerusi penganjur Makan Malam Tahunan kali ke-2 United Malaysia dan SRD, Kenneth Jayaraman berkata program yang diadakan itu mendapat sambutan luar biasa daripada ahli dan penyokong MU dari seluruh negara.

"Untuk mengumpul 1,000 penyokong MU bukanlah satu perkara mudah, saya gembira kita mencapai sasaran program kita dan saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan makan malam ini," katanya.

Advertisement

Must Watch Video