Universiti Kuala Lumpur (UniKL) merampas kedudukan teratas Liga Premier, TNB Liga Hoki Malaysia selepas mencatat kemenangan ke atas TNB 1-0 hari ini sekali gus kemenangan kedua berturut-turut.
Penyerang UniKL Faridzul Afiq Mohd muncul wira apabila meledak gol tunggal minit ke-49 untuk memberikan kelabnya itu tiga mata berharga.
Meskipun mencatat kemenangan 1-0, ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj bagaimanapun kurang berpuas hati dengan prestasi anak buahnya.
"Kita sepatutnya mampu menjaringkan tiga atau empat gol lagi.
"Tetapi kesemua peluang itu tidak dapat disempurnakan dengan baik. Kita juga gagal memperoleh walau satu pun pukulan sudut penalti," katanya.
Arul bagaimanapun tetap memberi pujian kepada barisan pemainnya kerana mereka dapat mengikut arahan yang diberikan.
"Kemenangan ini adalah hasil semangat juang tinggi oleh setiap pemain yang benar-benar mahukan kemenangan.
"Selain itu, Marhan Jalil yang bertindak selaku ketua pasukan menjalankan tugas dengan cemerlang di tengah padang," katanya.
Sementara itu, di Stadium Hoki Batu Buruk, Terengganu Hockey Team (THT) umpama melepas geram berikutan kekalahan kepada Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pada saingan Piala Sumbangsih apabila membelasah UiTM-KPT 9-0.
Maybank pula yang melayan kunjungan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) di Stadium Hoki MBMB mencatatkan kemenangan 4-0.
KLHC seperti dijangka tidak berdepan masalah menewaskan TNB Thunderbolts 6-1.