Skip to main content

Hoki

UniKL kekal terajui LHM

200117-unikl.jpg
Pakar pukulan sudut penalti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Muhammad Alim Bilal, menyumbangkan dua gol untuk membantu The Young Guns menewaskan UiTM-KPT 6-2, sekaligus mengekalkan status pendahulu Liga Hoki Malaysia (LHM). 

UniKL mengekalkan rentak cemerlang dengan kemenangan keempat berturut-turut. 

Dalam aksi di Stadium Hoki Kuala Lumpur, UiTM-KPT terlebih dahulu mencipta kejutan apabila pemain pertahanan import, Steffens Damon Jake, meledak gol pembukaan seawal minit kelapan. 

Bagaimanapun, UniKL membalas dengan empat gol, masing-masing menerusi Alim (m-22), Najmi Farizal Jazlan (m-35), Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin (m-44) dan Santiago Ignacio Salas (m-54). 

UiTM-KPT cuba bangkit dengan gol kedua menerusi Nazirul Mubin Zabidin (m-55). 

Namun, The Young Guns sekali lagi menambah gol menerusi Alim dan penyerang, Muhammad Azrul Hasbullah, di penghujung permainan. 

Pujian buat UniKL, namun perlu diingatkan mereka masih belum menentang pasukan gergasi, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Terengganu Hockey Team (THT) dan Maybank. 

"Kami memiliki segelintir pemain yang mampu memacu pasukan.

"Dalam setiap perlawanan, pemain berbeza yang menjaringkan gol, itu petanda yang bagus buat kami," ujar jurulatih UniKL, Arul Selvaraj. 

"Pemain melakukan sedikit kelonggaran dalam disiplin. 

"Oleh itu, kami membuat beberapa kesilapan mudah yang tidak seharusnya berlaku dalam perlawanan seperti ini," kata jurulatih UiTM-KPT, Meor Mohd Shahril Saarani. 

Advertisement

Must Watch Video