Skip to main content

Hoki

UniKL ambil keputusan berani ikat Marhan tiga tahun

1217marhanabduljalil.jpg
Pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sanggup mengambil risiko mengikat Muhammad Marhan Abdul Jalil selama tiga tahun walaupun pemain tengah kebangsaan itu belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan pergelangan kaki.

UniKL berani mengikat Marhan untuk tempoh lama berdasarkan reputasi besar perancang utama itu bagi menghadapi musim baru Liga Hoki Malaysia (LHM).

Bagaimanapun, Marhan akan menjalani imbasan magnetik resonan (MRI) dalam masa terdekat untuk menentukan sama ada dia boleh diturunkan untuk menentang UiTM-KPT dalam pusingan pertama Piala Tan Sri P. Alagendra, Jumaat ini.

"Kami gunakan peluang ini untuk menyokong pemain-pemain negara, jadi kami dapat peluang untuk mengambil Marhan.

"Kami juga telah membuat semakan dengan pakar ISN (Institut Sukan Negara) yang mengatakan dia boleh bermain dan ia membuatkan kami lebih senang mengambil khidmatnya," kata jurulatih UniKL, Arul Selvaraj.

Marhan mengalami kecederaan ketika membantu Sapura dalam saingan LHM pada September lalu.

Doktor menasihatkannya berehat selama enam bulan sehingga terlepas beberapa kejohanan bersama skuad kebangsaan.

Namun, perancang utama itu pulih dengan cepat dan tidak mustahil boleh diturunkan Jumaat ini.

UniKL menyasarkan separuh akhir LHM dan Arul perlu bijak merangka strategi kerana dia turut dilantik sebagai jurulatih skuad hoki remaja.

"Sangat sukar kerana ketika liga berlangsung, kami juga harus latih dan rancang untuk pasukan liga remaja. Persiapan setakat ini sudah memasuki pemilihan fasa kedua.

"Mungkin pada pertengahan liga nanti, kami perlu memanggil semula kumpulan itu, terutama ketika cuti rehat Tahun Baru Cina dan membuat pemilihan fasa terakhir," tambah Arul.

Advertisement

Must Watch Video