SUKAN SEA
TTAM gugur tiga tonggak kerana masalah disiplin
Tindakan Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM), yang berkeras mempertahankan pengguguran dua tonggak beregu wanita, Ho Ying dan Karen Lyne, daripada skuad ke Sukan SEA Filipina, November depan, mencetuskan tanda tanya apabila gandingan itu didakwa tidak menyertai sesi latihan sejak bulan lalu.
TTAM mendakwa keputusan menggantikan dua pemain itu dengan gandingan muda, Im Li Ying-Lee Xin Ni, adalah disebabkan Ho Ying dan Karen gagal memberikan komitmen apabila sudah sebulan tidak berlatih di bawah kendalian jurulatih dari China, Mu Tong, di Majlis Sukan Negara (MSN).
Sementara itu, Leong Chee Feng turut digugurkan kerana pemain itu didakwa mempunyai masalah disiplin dan telah digantung selama enam bulan bermula bulan lalu.
Iklan
Tempatnya akan digantikan dengan muka baru, Ling Yi Heng.
"Mereka memilih untuk tidak berlatih di bawah program kami.
"Bukan kami yang memilih untuk menggugurkan mereka.
"Anda memilih untuk tidak menyertai latihan dan anda memilih untuk tidak terlibat dengan program kami, jadi kami tiada pilihan selain menggantikan anda dan bukannya menggugurkan anda," kata Naib Presiden TTAM, Chin Kuen Liang.
Tambahnya, pertukaran itu telah dimaklumkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ketika Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA semalam.
"Tiada isu mengenai surat amaran atau apa-apa sahaja.
"Ia amat mudah, jika anda berlatih, kami akan mempersiapkan anda untuk menghadapi Sukan SEA.
"Jika anda tidak bersedia untuk berada dalam program kami, tiada apa yang boleh kami lakukan," tambahnya.
Sementara itu, Ho Ying dan Karen berang dan menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan TTAM itu.
"TTAM sudah tahu mengenai pandangan kami dan ia juga telah disampaIkan kepada pihak Majlis Sukan Negara (MSN).
"TTAM macam tidak gembira dengan kami dan MSN juga sudah mengetahui bahawa kehadiran jurulatih di sini telah menganggu dan mendatangkan masalah.
"Jadi, MSN membenarkan kami untuk memilih sama ada mahu berlatih dengan Beh Li Wei atau dengan jurulatih TTAM.
"Bagi saya, saya hanya mahu memilih jurulatih yang boleh membantu saya," kata Ho Ying.
"Ia tidak adil kerana saya bermain dengan serius.
"Mereka tidak ada bukti dan hanya mendengarnya daripada pihak luar.
"Saya rasa ia tidak adil (untuk saya)," tambah Karen pula.
Must-Watch Video