Skip to main content

Sukan Lain

Tiada atlet tinju negara ke Sukan Komanwel

fuad-redzuan.png
Ketiadaan wakil tinju negara ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018 menyaksikan perebutan satu kuota daripada 16 persatuan sukan lain untuk membawa atlet mereka ke temasya itu.

Tinju kehilangan satu-satunya wakil mereka, Fuad Redzuan, yang mengalami keretakan tulang pipi kiri dalam Kejohanan Pra-Sukan Asia di Jakarta yang berlangsung pada pertengahan bulan ini.

Jika Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) melihat ini peluang terbaik terhadap rayuan membawa ratu trek negara Zaidatul Husniah Zulkifli ke Gold Coast, peluang mereka semakin tipis.

Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) hanya memperuntukkan kuota 98 atlet buat Malaysia dengan baki 78 adalah daripada kelayakan membabitkan sukan seperti ragbi tujuh sepasukan dan bola keranjang wanita.

"Malaysia hanya memiliki kuota 98 atlet untuk dibawa ke Gold Coast. Buat masa ini, terdapat beberapa sukan yang telah membuat rayuan untuk menambah slot tersebut tetapi Malaysia hanya mendapat kuota sebanyak 98 atlet," kata Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo.

Sementara itu, Chef-de-Mission (CDM) negara ke Sukan Komanwel Gold Coast, Huang Ying How, mahu kontinjen bebas daripada sebarang kes doping.

Antara langkah proaktif yang diambil adalah memastikan setiap 176 atlet ke Gold Coast menjalani ujian saringan doping.

Ying How turut menegaskan keperluan atlet untuk lebih peka dengan kes-kes doping terdahulu membabitkan pemakanan dan makanan tambahan yang mengandungi bahan terlarang.

"Perkara utama buat kontinjen Malaysia adalah ke Gold Coast tanpa sebarang masalah doping," kata Ying How.

"Kami berharap masalah ini tidak lagi membelenggu atlet-atlet negara dan bersaing dalam saingan ini tanpa melibatkan penggunaan bahan terlarang." 

Advertisement

Must Watch Video