Pasukan Hoki Terengganu (THT) ternyata berada dalam kelas tersendiri selepas membenam cabaran pendatang baharu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) 9-0 dalam saingan Liga Premier Hoki Malaysia (MHL-TNB) di Stadium Hoki Kuala Terengganu, petang ini.
Pemain kebangsaan, Muhammad Firhan Ashaari, memulakan pesta jaringan tuan rumah seawal minit kelima menerusi jaringan padang sebelum Nicolas Enrique Della Torre menggandakan jaringan pada minit ke-12 selepas menolak masuk hantaran Faizal Saari.
Bersambung suku kedua Della Torre menambah jaringan kedua peribadi pada minit ke-23 untuk menjadikan kedudukan 3-0 sebelum mencipta peluang kepada Faizal menjaringkan gol keempat hanya tiga minit kemudian juga menerusi jaringan padang.
Pesta gol THT berterusan pada suku ketiga menerusi jaringan padang Faizal (m-34), Ismail Abu (m-37) sebelum Faizal mencipta hatrik pada minit ke-43.
Pasukan pelawat terus berduka selepas Ismail Abu meledak gol kelapan THT pada minit ke-54 sebelum Firhan melengkapkan jaringan 9-0 pada minit ke-59 bagi memastikan kemenangan bergaya tuan rumah.
Tiga mata ini adalah kemenangan pertama THT selepas sekadar seri 2-2 dalam aksi pembukaan Piala Sumbangsih menentang Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Jumaat lalu.