Skip to main content

Sukan Asia

Terjun: Terjunan terbaik Tze Liang-Yiwei gagal ke podium

terjun13418.jpg
Walaupun Ooi Tze Liang dan Chew Yiwei mencatat mata tertinggi peribadi sepanjang digandingkan bersama dalam acara 3 meter papan anjal seirama, ia masih belum cukup untuk pasangan itu berada di kedudukan podium apabila terpaksa mengakhiri Sukan Komanwel Gold Coast di tangga keempat.

Daripada sudut positif, Tze Liang dan Yiwei tetap berpuas hati dengan pungutan 395.40 mata kerana mereka telah memberikan tentangan sehabis baik.

Tidak terlalu terkilan gagal mendapatkan pingat kerana mereka sedar agak sukar mencelah di kedudukan podium.

Pasangan itu menamatkan saingan di tempat keempat, dengan emas milik juara Sukan Olimpik Rio 2016, Jack Laugher-Chris Mears dari England.

"Saya rasa kami harus fokus pada aspek positif dan kami melakukan apa yang terbaik malam ini.

"Kami menikmati pertandingan ini dan melakukan catatan peribadi terbaik. Inilah yang kami lakukan. Mungkin hari ini kami tidak bernasib baik," kata Tze Liang.

Satu lagi pasangan negara, Muhd Syafiq Puteh-Gabriel Gilbert Daim, mengakhiri cabaran di tempat ketujuh daripada lapan peserta selepas memungut 369.42 mata.

"Saya berpuas hati sebab ini kali pertama kami beraksi dalam temasya ini.

"Kami dapat pengalaman dan dapat mengawal mental dengan baik. Kami juga membuat terjunan yang baik dan kurang melakukan kesilapan," kata Syafiq.

Advertisement

Must Watch Video