Skip to main content

Olimpik

Terjun: Skuad lelaki negara mampu cabar pingat -- Amsyar

amsyar.jpg
Malaysia mampu menghantar wakil lelaki dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan syarat mereka perlu melipatgandakan usaha.

Bekas penerjun negara, Ahmad Amsyar Azman, yang mengumumkan persaraannya awal minggu ini, menganggap peluang atlet negara tetap ada meskipun berdepan laluan berliku. 

Dia yang kerap beraksi dalam acara 3 meter papan anjal individu itu melahirkan keyakinan itu berdasarkan potensi negara dalam melahirkan penerjun berkualiti. 

Keyakinannya itu disuarakan berdasarkan pencapaian penerjun negara yang telah dibuktikan menerusi skuad wanita. 

"Skuad wanita negara mampu meraih medal dalam Sukan Olimpik menerusi kehadiran Pandelela Rinong, Leong Mun Yee dan Dhabitah Sabri," katanya dalam temu bual Nadi@1 hari ini.

Ketika ini, bekas atlet kelahiran Perlis berusia 27 tahun itu mahu fokus kepada pengajiannya di Universiti Malaya (UM) dan dalam masa yang sama, tidak menolak untuk menggilap bakat-bakat baru. 

"Saya perlu timba pengalaman dalam bidang kejurulatihan terlebih dahulu. Saya sudi mengajar mereka yang berminat mengenai asas-asas terjunan di kolam renang. 

"Namun, seseorang itu perlu ada minat, sanggup menjalani latihan berterusan dan paling penting, kena ada keberanian. 

"Mungkin seseorang itu boleh cuba buat terjunan setinggi 1 meter terlebih dahulu."

Sementara itu, skuad negara sedang menghadapi Kejohanan Terjun Piala Asia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, dengan pemenang pingat emas akan beroleh tiket ke temasya Tokyo 2020. 

Advertisement

Must Watch Video