Skip to main content

Sukan Asia

Terjun: Mun Yee-Dhabitah tidak sangka mampu raih gangsa

munyeedhabitah.jpg
Penerjun negara, Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri, tidak menyangka dapat meraih pingat dalam acara 3 meter papan anjal seirama dalam Sukan Komanwel 2018 hari ini.

Menurut Nur Dhabitah, dia dan seniornya itu sedar saingan yang akan dihadapi mereka, malah peserta dari England, Kanada dan Australia adalah mereka yang sentiasa menamatkan saingan di podium dalam pertandingan Siri Dunia.

Gandingan negara bermula dengan baik apabila mengutip 46.80 mata dalam terjunan pertama dan kedua dengan 48.00 mata sebelum melonjak ke tempat kedua selepas mengutip 69.30 mata.

Selepas mengutip mata 58.50 dalam terjunan keempat dan selesa di kedudukan pingat perak, namun dalam terjunan terakhir, berlaku kesilapan dalam terjunan Nur Dhabitah yang menyebabkan mereka sekadar mengutip 42.30 mata untuk menduduki tempat ketiga dengan 264.90 mata keseluruhan.

"Saya tidak sangka akan dapat pingat. Dari permulaan acara lagi, secara jujur, kami  tidak sasar pun untuk pingat sebab ia adalah satu cabaran yang sukar. Kami pergi pertandingan pun...Siri Dunia, di atas podium sentiasa mereka sebab itu kami tidak menaruh harapan langsung.

"Alhamdulillah, selepas terjunan yang macam itu tadi (kesilapan), pun dapat pingat, saya sangat bersyukur. Memang acara ni saya rasa memang susah hendak dapat pingat," katanya.

Dalam pada itu, Mun Yee berkata dia puas hati dengan prestasinya dan gandingannya bersama Nur Dhabitah yang hanya disatukan beberapa bulan lalu.

"Sebenarnya, kalau ikutkan prestasi, Dhabitah lebih baik ketika latihan berbanding saya. Tapi, saya gembira dengan prestasi saya. Diakui keadaan cuaca agak berangin dan sebab itu ada peserta yang terjejas prestasi mereka," katanya.

Pingat emas dimenangi penerjun tuan rumah, Esther Qin-Georgia Sheehan, yang mengumpul 284.10 mata, diikuti penerjun England, Alicia Blagg-Katherine Torrance, yang mengumpul 276.90 mata.

Mun Yee-Nur Dhabitah akan beraksi dalam acara 10m platform seirama malam ini.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video