Skip to main content

Sukan Asia

Terjun: Kimberly akui gementar

kimberly13418.jpg
Penerjun muda negara, Kimberly Bong, mengakui berasa gementar dengan baki tiga terjunan terakhir yang menyaksikan dia gagal mempertahankan kelebihan di tempat ketiga dalam acara 1 meter papan anjal individu wanita, Sukan Komanwel Gold Coast, hari ini

Penerjun berusia 16 tahun itu bermula dengan cemerlang apabila meraih 106.10 mata dalam pusingan kedua untuk berada di belakang Grace Reid dari Scotland dan Julia Vincent dari Afrika Selatan.

Namun, kurang pengalaman beraksi di peringkat tertinggi jelas menjadi penghalang buat Kimberly yang sekadar mencatat 37.50 mata dan 31.05 mata sebelum menamatkan cabaran di tempat kesembilan.

Bagi Kimberly, walaupun lebih menggemari acara platform, dia tetap gembira dengan aksi yang ditampilkan dalam acara itu.

"Secara keseluruhan saya gembira dengan persembahan saya malam ini. Saya tidak selalu bertanding dalam papan anjal, selalu beraksi dalam platform. Jadi, ia baik juga," kata Kimberly.

Nur Dhabitah Sabri pula yang berada di tempat keenam kurang berpuas hati dengan prestasinya, terutama dalam terjunan kedua dan ketiga.

"Saya ada gunakan terjunan baru yang lebih tinggi daripada sebelum ini. Tetapi, saya masih lagi mencari rentak dalam pertandingan ini. Saya perlu berlatih gigih lagi untuk terjunan itu," kata Dhabitah.

Seorang lagi penerjun, Jasmine Lai Pui Yee, menamatkan cabaran di tempat kelapan.

"Kalau dibandingkan pagi tadi dan malam ini, pagi tadi lagi bagus. Tetapi saya bersikap positif mengenainya. Ini adalah pengalaman yang baik kerana ini adalah Komanwel pertama saya," kata Jasmine.

Advertisement

Must Watch Video